Dipercayai untuk ilmu kebal, pencuri sanggup gali kubur & ambil tali kain kafan
Penduduk di Sidoarjo, Jawa Timur, digemparkan dengan satu kes kecurian aneh yang berlaku di tanah perkuburan, semalam.
Menurut Tribun News, sekumpulan pencuri disyaki telah menggali kubur dan mencuri tali kain kafan yang ada pada jenazah.
Difahamkan, kejadian yang mengerikan itu berlaku di kompleks perkuburan awam di Desa/Kecamatan Tulangan, Sidoarjo.
“Kejadian berlaku pada awal pagi tadi,” kata seorang penduduk setempat, Agus.
Dalam kejadian yang berlaku pada pagi Selasa, penduduk menyedari bahawa sebuah kubur telah digali dan dirosakkan.
Selepas berita mengenai kubur itu tersebar, beberapa orang penduduk yang lain turut datang ke lokasi termasuk penjaga kubur untuk meninjau keadaan di situ.
Mereka mendakwa bahawa pelaku sengaja mencuri tali kain kafan yang diikat pada jenazah yang baru meninggal dunia pada Malam Jumaat Legi (dianggap sebagai malam yang istimewa dan penuh keramat).
Tali kain kafan daripada jenazah yang meninggal dunia pada malam itu dipercayai boleh menguatkan kekebalan dan kesaktian seseorang, lapor Tribun News.
Malah, perkara itu sebenarnya sudah dijangka dan kubur tersebut sering dijaga sejak jenazah itu dikebumikan pada malam Jumaat lalu kerana dibimbangi ada yang berbuat jahat di sana.
Bagaimanapun, pelaku pandai mencari peluang dan melancarkan strategi untuk mencuri tali kain kafan tersebut di dalam kubur.
“Pagi tadi kubur telah digali dan selepas diperiksa kedua-dua tali kain kafan telah hilang,” kata seorang penduduk.
Selepas kejadian itu, tali tersebut telah diganti yang baharu dan kubur telah dibaiki dan dikemas semula.
Sumber: Tribun News