Dipercayai makan terlalu banyak, lelaki kena ‘banned’ dengan restoran bufet

Dipercayai makan terlalu banyak, lelaki kena ‘banned’ dengan restoran bufet

Mengunjungi restoran berkonsepkan bufet boleh jadi menguntungkan bagi kebanyakan orang. Tak seperti restoran-restoran pada umumnya, selalunya kita perlu bayar sekali sahaja di restoran bufet untuk menikmati juadah-juadah yang disediakan di sana.

Tapi lain pula ceritanya dengan lelaki warga China ini. Kerana makan terlalu banyak, lelaki tersebut hingga dilarang dari mengunjungi salah sebuah restoran bufet yang menyediakan menu utama makanan laut bakar, lapor Mothership.

Menurut Mothership, Lelaki berkenaan yang juga seorang live-streamer mukbang tidak dibenarkan masuk ke restoran di kota Changsha itu setelah menghabiskan kira-kira 4 kilogram udang ketika kunjungan kali keduanya. Malah semasa pertama kali makan di restoran yang sama, lelaki tersebut telah menyantap 1.5 kilogram kaki khinzir. Dia kemudiannya di’banned‘ oleh restoran tersebut kerana dikatakan telah menyebabkan kerugian.

“Saya mampu makan banyak, adakah itu salah?” katanya, tidak puas hati kerana namanya disenaraihitamkan pihak restoran.

Jelas lelaki tersebut kepada Hunan TV, dia juga tidak membazir makanan yang diambil. Tambahnya, layanan seperti itu tidak pernah dia terima dari mana-mana restoran bufet yang lain.

Namun menurut pemilik restoran, setiap kali lelaki tersebut datang ke restoran miliknya, dia kerugian beberapa ratus yuan (kira-kira ratusan ringgit). Malah katanya kepada Hunan TV, lelaki berkenaan mampu minum hingga puluhan botol susu soya semasa berkunjung ke premisnya.

“Malah dia boleh minum 20 hingga 30 botol susu soya.

“Apabila dia makan kaki khinzir, dia habiskan satu tray.

“Selalunya orang ambil udang guna penyepit, tapi di ambil semuanya bersama tray,” kata pemilik restoran, turut melarang live-streamer lain untuk berkunjung ke restoran miliknya.

Bermula tahun lalu, kerajaan China melarang orang awam memesan terlalu banyak makanan di restoran dan merakam konten berkonsepkan mukbang. Video-video seperti itu kini disekat di China kerana dikaitkan dengan pembaziran makanan.