Dijumpai selepas 14 tahun diculik, ayah sayu anaknya tak mahu kembali ke pangkuannya

Luluh hati seorang ayah apabila anak lelakinya yang pernah diculik pada 14 tahun lalu tidak mahu kembali semula kepadanya, malah memilih untuk tinggal bersama keluarga angkatnya.
Menurut Daily Star, ayah tersebut, Sun Haiyang (kanan) dari Hubei, China ditakdirkan bertemu semula dengan anak lelakinya, Zhuo (tengah) baru-baru ini hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk polis yang mengikuti kisah perpisahan tragis dua beranak itu.
Semasa pertemuan tersebut, Haiyang menitiskan air mata gembira kerana berpeluang bertemu semula dengan anak kandungnya itu setelah masing-masing terpisah selama 14 tahun.
Dalam masa sama, Zhuo juga turut sebak kerana akhirnya dia dapat kembali ke pangkuan ayahnya selepas terpisah akibat diculik dalam satu kejadian di Shenzen pada 9 Oktober 2007 lalu semasa berusia empat tahun.
Bagaimanapun, Haiyang berasa berduka cita kerana Zhuo tidak mahu kembali tinggal bersamanya, sebaliknya memilih untuk hidup bersama keluarga angkat yang menjaganya sejak terselamat daripada kejadian culik tersebut.
Zhuo menzahirkan rasa bersalah atas tindakannya yang tidak pulang ke pangkuan keluarga asal setelah dapat hidup bersama keluarga angkat sehingga ke hari ini.
“Saya sudah ada rumah baharu sekarang. Kedua-duanya adalah ibu bapa saya,” katanya dalam pertemuan ‘tragis’ yang dianjurkan China Central Television itu baru-baru ini.
Kejadian ngeri diculik pada 2007 semasa berusia 4 tahun

Mengimbas kembali, ketika kejadian culik pada 2007 itu, Zhuo didatangi seorang individu tidak dikenali yang membawa ‘hadiah’ berupa alat permainan dan gula-gula sebelum melarikannya.
Menyedari anaknya diculik, Haiyang tekad mencarinya bersungguh-sungguh selama bertahun-tahun hingga menjanjikan hadiah wang tunai berjumlah RM128,000 kepada sesiapa yang menjumpainya.
Difahamkan, Haiyang terpaksa menjual rumahnya semata-mata mahu mendapatkan duit sebanyak itu, malah dia turut menukar papan tanda kedai rotinya menjadi iklan hebahan pencarian anaknya.
Pelbagai petanda dikumpulkan sepanjang usaha mencari Zhuo namun tidak berjaya. Malah Haiyang bersama isterinya, Peng Siying tidak pernah memberitahu anak kedua mereka bahawa Zhuo adalah abang sulung sebenar.
“Selama lebih 14 tahun, saya semak segala petanda yang saya dapat. Kadang-kadang saya rasa kecewa bila langsung tak dapat panggilan (daripada bantuan orang) selama beberapa hari.
“Saya rasa sangat gembira bila dapat panggilan biarpun sebenarnya yang telefon saya tu penipu, yang berkata kononnya mereka mahu ‘menukar’ petanda yang dapat dengan hadiah yang saya janjikan.
“(Tapi) sekurang-kurangnya mereka bagi saya harapan..” jelasnya, mengimbas kembali detik-detik sukar sepanjang 14 tahun mencari Zhuo.
Difahamkan, sembilan individu yang disyaki suspek terlibat kes culik tersebut telah ditahan polis untuk siasatan.
Kisah perpisahan tragis Haiyang dan Zhuo ini mendapat perhatian ramai sebelum pihak polis Guangdong, Shandong dan Hubei bekerjasama menemukan kedua-dua beranak ini.
Menariknya, kisah mereka ini turut diadaptasikan ke dalam sebuah filem box office Hong Kong bertajuk Dearest yang pernah ditayangkan pada 2014 lalu.