Didakwa beri ceramah berbau perkauman, ‘Superman Hew’ ditangkap polis
Bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau hari ini telah ditahan oleh Polis Pahang bagi membantu siasatan berhubung tindakannya memberi ceramah yang didakwa berunsur perkauman baru-baru ini.
Bagi ucapan di ceramah PH
Menerusi video yang tular di media sosial, Hew yang dikenali sebagai Supermen Hew telah berucap dalam bahasa Kantonis yang didapati mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam sewaktu menyampaikan ceramah Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Saya mengesahkan bahawa sarikata ucapan Superman Hew dalam Kantonis adalah kurang tepat kerana jikalau ditambah dengan bahasa kesatnya, maksud yang disampaikan jauh lebih teruk dari terjemahan!
Harap Hew akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang. pic.twitter.com/BmMwvymrUY
— Firdaus Wong (@FirdausWong) November 19, 2022
Tular di media sosial
Menurut laporan dari Harian Metro, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan yang Kuan Yau, 53, ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Pahang di kediamannya di Puchong Jaya, Selangor dengan bantuan pasukan JSJ Bukit Aman.
“Pada 17 November lalu, polis Pahang menjalankan siasatan penularan video ceramah sebuah parti politik di Raub Perdana, Raub, Pahang.
“Pada ceramah itu, salah seorang penceramah bernama Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ berucap dalam bahasa Kantonis yang didapati mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Sebahagian daripada rakaman video ceramah berkenaan kemudian ditularkan di dalam media massa serta media sosial dan mendapat reaksi yang negatif dari kalangan masyarakat,” katanya.
Sedang disiasat pihak polis
Difahamkan, Hew kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah .
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi,” katanya.
Dalam pada itu, Ramli juga memaklumkan yang suspek turut disiasat mengikut seksyen yang sama bagi ucapannya di dalam satu program ceramah politik pada 18 November lalu di Taman Pandan Mawar, Melaka.
Melalui video tersebut, Hew dikatakan menggunakan kata-kata kesat serta berbaur perkauman ketika berucap pada ceramah terbabit.
Sumber: Harian Metro (Nor Azizah Mokhtar), Twitter Firdaus Wong