”Dah lengkap dos vaksin, jangan salah guna kelonggaran..” – Noor Hisham

”Dah lengkap dos vaksin, jangan salah guna kelonggaran..” – Noor Hisham

Individu yang lengkap menerima dua dos vaksin diingatkan supaya tidak menyalahgunakan hak istimewa atau kelonggaran sekatan yang diberikan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan, segala kerja keras dan keuntungan yang bakal dicapai di negara ini dipercayai akan sia-sia jika rakyat leka.

“Jika rakyat tidak memanfaatkan kelonggaran yang diberikan, berkemungkinan negara ini akan menghadapi satu lagi ‘pertempuran’ dengan virus.

“Kita perlu ingat, masih ada sebahagian daripada rakyat di negara ini belum divaksin. Mereka ini mudah terkena jangkitan COVID-19,” katanya di Twitter hari ini.

Justeru, kadar transmisi perlu dipastikan serendah mungkin bagi memastikan penyebaran varian mahupun kemunculan varian baharu dapat dicegah.

Dalam pada itu tambahnya, individu yang telah menerima vaksin lengkap juga perlu ada disiplin yang tinggi untuk tidak menyalahgunakan hak istimewa yang diberikan tersebut.

“Sekiranya anda disahkan positif COVID-19 atau menjadi kontak rapat kepada kes positif, pastikan menjalani pengasingan atau kuarantin dalam kadar segera supaya tidak mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan.

“InsyaAllah kita berusaha dan tawakkal. Allah SWT Maha Penyayang dan Melindungi,” katanya lagi.

Baru-baru ini, kerajaan telah meluluskan beberapa kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikhususkan buat individu yang lengkap divaksinasi.

Antara kelonggaran yang diberikan adalah kebenaran makan secara ‘dine-in’ di restoran, menjalankan aktiviti perkhemahan, menjalankan semula operasi kedai gunting rambut dan sebagainya.

Sumber: Twitter Dr. Noor Hisham