Cabaran Parti Islam Di Indonesia Dalam Menghadapi Pemilihan Umum Atau Pilihan Raya
SEBAGAI sebuah negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia – 229 juta, atau 87 peratus daripada keseluruhan penduduknya – Indonesia berbangga kerana mempunyai landskap politik yang mencakup beberapa parti berteraskan Islam.
Antara parti berteraskan Islam di Indonesia ialah Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan Parti Bulan Bintang (PBB). Parti-parti Islam ini sudah lama berhasrat mewakili kepentingan masyarakat Islam dalam arena politik Indonesia.
Bagaimanapun, menjelang pilihan raya presiden yang dijadualkan pada Februari 2024, parti Islam ini menghadapi pelbagai cabaran untuk mendapatkan sokongan pengundi – antara yang paling ketara ialah ketiadaan tokoh yang dilihat cukup berwibawa untuk meyakinkan pengundi dalam suasana dan ruang politik yang padat dengan pelbagai parti sekular, termasuk parti baru.
Inklusif dan meluas
Antara cabaran utama yang dihadapi parti Islam di Indonesia ialah mencari jalan untuk menarik spektrum pengundi yang luas di luar masyarakat Islam.
Indonesia sebuah negara majmuk, berbilang agama, kaum dan ideologi. Untuk mendapatkan sokongan meluas, parti Islam perlu menunjukkan komitmen mereka dalam mewujudkan sebuah pemerintah yang inklusif. Ini bererti dasar politik mereka harus fokus pada kemaslahatan rakyat daripada semua kaum dan tidak menangani isu keIslaman sahaja.
Dengan mengutamakan perpaduan dan kebajikan negara, parti Islam akan dapat mengatasi persepsi bahawa mereka hanya mewakili masyarakat Muslim sahaja.
Perpecahan mazhab
Satu lagi cabaran signifikan bagi parti yang berteraskan Islam ialah dalam menangani perbezaan (mazhab) dalam kalangan masyarakat Islam sendiri.
Islam di Indonesia mencakup pengertian dan amalan meluas, justeru muncul beberapa pertubuhan agama yang amat berpengaruh, seperti Nahdlatul Ulama (NU), yang dianggarkan mempunyai lebih 90 juta anggota dan baru sahaja merayakan ulang tahunnya yang ke-100. NU ialah pertubuhan Islam terbesar di dunia.
Kemudian terdapat juga Pertubuhan Muhammadiyah (kira-kira 40 juta anggota), Persatuan Islam Tionghoa Indonesia (PITI), Majlis Intelektual dan Ulama Muda Indonesia (MIUMI), Lembaga Dakwah Islam Indonesia (LDII), Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI), dan banyak lagi.
Justeru, mereka harus mencari satu titik pertemuan yang boleh mewujudkan perpaduan bersama pengundi, sambil menghormati kepentingan dan pandangan umat Islam keseluruhannya.
Dengan mengadakan dialog dan mempromosikan sikap toleransi beragama dan saling menghayati nilai kebersamaan, parti ini akan dapat membuktikan keupayaan mereka dalam mewakili masyarakat Islam secara meluas dan berkesan.
Menangani isu ekonomi
Selain persoalan keagamaan, pengundi di Indonesia memandang penting isu ekonomi seperti pembasmian kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan pengagihan kekayaan negara. Cabaran bagi sembarang parti, termasuk parti Islam, ialah dalam mewujudkan dasar ekonomi yang komprehensif bagi mengatasi isu-isu tersebut secara efektif.
Dengan menyediakan agenda ekonomi yang diperhalusi dan meyakinkan, iaitu memberi keutamaan kepada kebajikan sosial, pembangunan atau kemajuan yang setara dan membasmi kemiskinan, parti Islam akan dapat menarik perhatian pengundi tanpa melihat kepada latar belakang agama.
Menjalin kerjasama dengan pakar dan ahli ekonomi bagi menghasilkan program ekonomi praktikal dan mampu dilaksana menjadi lebih penting dalam mewujudkan kredibiliti berkaitan isu ekonomi.
Hadapi tentangan sekular
Landskap politik Indonesia termasuk parti sekular, yang tidak mahu mencampur aduk agama dengan isu negara.
Parti Islam mesti menanganinya secara efektif, memberikan pemahaman jelas terhadap tentangan sekular itu, yang sering mengatakan pengaruh agama boleh menjejas prinsip demokrasi dan melemahkan masyarakat majmuk Indonesia.
Untuk menangani cabaran ini, mereka perlu menjelaskan komitmen terhadap demokrasi, hak asasi manusia, dan kebebasan beragama, meletakkan mereka sebagai pengamal politik yang bertanggungjawab yang mampu mengimbangi nilai agama dengan prinsip sebuah negara yang demokratik.
Belia dan pengundi muda yang mesra teknologi
Seperti di kebanyakan negara lain, pengundi muda di Indonesia semakin mesra teknologi dan lebih bersedia menerima pemikiran baru dan progresif. Parti berteraskan Islam mesti menyesuaikan strategi kempen mereka untuk melibatkan sama kumpulan rakyat seperti ini.
Melalui media sosial, platform digital dan kempen dalam talian akan dapat membantu mendekatkan mereka dengan kumpulan pengundi muda ini dan menyampaikan dasar politik kepada mereka secara lebih jelas dan efektif.
Mereka juga harus mengutamakan isu yang menyentuh kehidupan belia dan pengundi muda ini, seperti pendidikan, peluang pekerjaan dan kelestarian alam sekitar.
Mengatasi antara beberapa cabaran yang disebutkan itu memerlukan satu pendekatan strategik inklusif (yang merangkumi) kekhuatiran dari segi ekonomi, merapatkan perpecahan gara-gara perbezaan pendapat, dan memicu ke arah mewujudkan perpaduan.
Apabila antara cabaran yang disebutkan ini dapat dikendalikan dengan baik, parti Islam di Indonesia akan dapat berdiri dengan kukuh dan menentukan arah pentadbiran negara dan memilih sendiri pemimpin yang mereka mahukan menerajui negara itu.
Sejauh ini, empat parti Islam secara terkumpul peroleh 171 kerusi, atau 30 peratus daripada 575 kerusi parlimen Indonesia. Parti nasionalis yang lain menguasai 70 peratus kerusi di dewan parlimen itu.
PKB, yang merupakan sekutu NU, mempunyai 58 kerusi; PKS, satu-satunya parti Islam pembangkang, ada 50 kerusi; PAN, sebuah parti yang ditubuhankan bersama oleh pengkritik pemerintahan Presiden Suharto dulu, termasuk Encik Amien Rais, menguasai 44; dan PPP 19.
Akta Pilihan Raya Indonesia menyebutkan sesebuah parti atau sesebuah perikatan parti harus mempunyai 20 peratus kerusi dalam Parlimen atau peroleh 25 peratus undi dalam pilihan raya lalu bagi membolehkan mereka menamakan calon presiden dan naib presiden pilihan mereka sendiri.
Justeru, hanya sebuah parti sahaja daripada sembilan parti dalam Parlimen yang memerintah – iaitu Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) – layak menamakan pasangan calon mereka sendiri kerana mereka menguasai 128 kerusi, atau 22 peratus daripada 575 kerusi parlimen.
Parti lain harus mencari gandingan calon daripada kalangan mereka untuk diketengahkan bagi persaingan merebut jawatan presiden dan naib presiden.
Antara tokoh Islam yang dilihat dapat digandingkan ialah mantan gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan; Encik Ridwan Kamil (Gabenor Jawa Barat); dan Encik Erick Thohir (Menteri bagi Perusahaan Milik Negara).