Budak 14 tahun dipenjara selepas lari dari perkahwinan yang diatur keluarganya

Budak 14 tahun dipenjara selepas lari dari perkahwinan yang diatur keluarganya

Seorang gadis berusia 14 tahun di Mexico telah dipenjarakan selepas dia melarikan diri daripada perkahwinan yang diatur oleh keluarganya, lapor Daily Star.

Gadis tersebut dilaporkan sepatutnya berkahwin dengan jirannya di kampung di Guerrero, Mexico.

Menurut laporan di Daily Star, gadis yang merupakan ahli komuniti Mixtec itu beranggapan bahawa kakaknya yang akan berkahwin.

Walau bagaimanapun, gadis tersebut menolak untuk mengahwini jirannya yang umurnya tidak diketahui.

Ibu kepada gadis itu dilaporkan telah menerima bayaran lebih £7,000 (RM39,177) daripada jirannya untuk mengahwini anak perempuannya.

 

Perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak adalah haram di Mexico tetapi ianya menjadi perkara kebiasaan di sesetengah kawasan luar bandar di negara itu. Bandar yang didiuki oleh gadis tersebut iaitu Guerrero dilaporkan merupakan salah satu kawasan utama bagi jenayah itu.

Bercakap kepada The Daily Beast, Abel Barrera, pengarah Pusat Hak Asasi Manusia Tlachinollan, memberikan butiran tentang kes gadis tersebut dan bagaimana sebaik sahaja dia dibeli, mereka dijangka akan menyelesaikan semua kerja rumah.

Gadis tersebut dilaporkan telah meninggalkan rumah keluarganya pada hari perkahwinan dan berteduh di rumah jirannya yang berusia 15 tahun, lapor akhbar tempatan.

Barrera berkata: “Dia memilih untuk melarikan diri tanpa memberitahu sesiapa, tanpa mengira hakikat bahawa ibunya telah bersetuju (mengenai wang) dan perbelanjaan yang dibayar oleh bapa pengantin lelaki.”

Dia juga turut mendedahkan bahawa bapa gadis itu telah dibunuh oleh penyerang yang tidak dikenali dan ibunya sedang bergelut dari segi kewangan.

Apabila keluarga jiran mengetahui tentang kisahnya, mereka terus menghubungi jabatan penguatkuasaan undang-undang bantuan Joya Real, yang dikenali sebagai Polis Komuniti.

Sebaik sahaja dia ditemui oleh polis, kedua-duanya telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, menurut The Independent.

Gadis itu kemudiannya dinasihat oleh pihak polis supaya mengalah dengan perkahwinan itu atau memulangkan wang yang dibelanjakan oleh keluarga jiran.

Kedua-dua remaja itu dibebaskan selepas bermalam di penjara ketika anggota dari Pusat Tlachinollan iaitu Barrera tiba bersama polis negeri dan wakil pejabat peguan daerah.

Menurut portal El Universal, kedua-dua remaja itu telah diletakkan dalam jagaan perlindungan untuk keselamatan mereka.