BFood alami kerugian RM87.34 juta, situasi mencabar dan tekanan luaran jadi punca

BFood alami kerugian RM87.34 juta, situasi mencabar dan tekanan luaran jadi punca

 

Berjaya Food Bhd (BFood) mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM87.34 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 berbanding keuntungan sebelum cukai RM148.73 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Kumpulan melaporkan hasil sebanyak RM730.3 juta berbanding RM1.12 bilion pada tahun kewangan terdahulu.

Bagi suku keempat tahun kewangan dikaji, BFood mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM42.69 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM29.04 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil dalam suku dikaji juga mencatatkan penurunan kepada RM130.57 juta daripada RM271.75 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil yang jauh lebih rendah dan kerugian sebelum cukai yang ditanggung pada suku dalam tinjauan adalah disebabkan terutamanya oleh sentimen semasa berhubung konflik di Asia Barat.

Kemerosotan dalam hasil dan kerugian sebelum cukai pada tahun kewangan dikaji adalah disebabkan terutamanya oleh sebab yang dinyatakan di atas dan kerugian sekali sahaja yang timbul daripada pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti kumpulan dalam Jollibean Foods Pte Ltd.

Tidak termasuk perbelanjaan luar biasa berkaitan pelaburan, kerugian sebelum cukai adalah RM76.84 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM148.73 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk suku semasa dalam tinjauan.

BFood dalam satu kenyataan berkata, Lembaga Pengarah mengakui keadaan pasaran yang mencabar dan tekanan luaran yang menjejaskan prestasi perniagaan kumpulan.

“Di sebalik kesukaran ini, kami tetap optimis dengan berhati-hati menjangkakan peningkatan beransur-ansur dalam prestasi operasi sepanjang tahun kewangan akan datang.

“Walaupun pemulihan mungkin perlahan disebabkan ketidaktentuan semasa yang berterusan, Lembaga Pengarah percaya bahawa pelarasan strategik dan penambahbaikan operasi akan, pada masanya, mengukuhkan kedudukan kumpulan dan membawa kepada keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya.