Bermula 1 Oktober, pemegang lesen B1, B2 10 tahun dan ke atas layak mohon lesen B penuh
Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pemohon bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan, antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160.
Beliau berkata, pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar, untuk tempoh dua jam sahaja.
“Melalui program amali itu, pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM.
“Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang itu untuk mengendalikan motosikal berkuasa besar, demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Loke berkata, syarat program bahawa pemohon perlu memiliki LLM kelas B1 atau B2 secara aktif berterusan untuk minimum 10 tahun, bertujuan memastikan tahap kompetensi serta pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
Seterusnya, beliau berkata, syarat lain ialah pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau apa-apa perkara yang belum selesai bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Pemohon juga perlu membuat pengesahan sihat tubuh badan, fizikal dan minda secara deklarasi kendiri,” katanya.
Ketika ini, Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan, termasuk melaksanakan semua perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM.
Beliau memaklumkan, program peralihan itu tidak mempunyai tempoh tamat dan akan diteruskan hingga suatu masa yang ditentu dan dimaklumkan kemudian.
“Sebelum ini, kos mendapatkan LLM kelas B adalah RM900 serta perlu menjalani kelas teori selama dua jam dan latihan litar 9.5 jam. Ketika ini, terdapat lebih 10 juta pemegang LLM kelas B2,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata, kementerian memutuskan untuk menggabungkan LLM kelas B1 dengan B selepas mengambil kira bahawa permintaan mendapatkan LMM kelas B1 adalah terlalu rendah setiap tahun kerana orang ramai lebih memilih untuk terus saja mendapatkan lesen kelas B.
Beliau berkata, justeru mulai 1 Oktober depan, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai.
“Dengan mendapatkan LMM motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah saja bagi kelas B1.
“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal dalam kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas berkenaan bagi mendapatkan lesen kelas B,” katanya.