Berjaya selamatkan warganya yang diculik, Palestin ucap terima kasih buat Malaysia
Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih buat pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam usaha menyelamatkan warga Palestine yang diculik di Malaysia baru-baru ini.
Zahir penghargaan buat pihak berkuasa
Kementerian itu berkata dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, mereka menzahirkan penghargaan atas usaha hebat yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam menyelamatkan rakyat Palestin yang diculik oleh Mossad Israel.
Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa, warga Palestin berusia 31 tahun yang diculik oleh sekumpulan individu warga Malaysia yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel.
Turut difahamkan, penculikan tersebut dilakukan bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. Kumpulan yang dikenali sebagai Mossad ini beroperasi bagi membantu rejim Israel memburu anggota Hamas di Malaysia.
Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dan akan didakwa di Mahkamah Majistret.
Terdahulu, warga Palestin terbabit diculik di Jalan Yap Kwan Seng di ibu negara ketika memasuki kenderaan selepas makan malam pada 28 September lalu.
Sumber: Astro Awani