Berjaya lari dari penjara tanpa dikesan, lelaki serah diri semula selepas 30 Tahun
Seorang lelaki Australia yang berjaya melarikan diri dari penjara selama hampir tiga dekad menyerah diri selepas dilaporkan kesempitan kerana kehilangan tempat tinggal dan sukar untuk mendapatkan pekerjaan gara-gara wabak pandemik COVID-19.
Pada suatu malam 1 Ogos 1992, selepas 13 bulan menjalani hukuman penjara yang ditetapkan selama tiga tahun setengah kerana menanam ganja, lelaki itu berjaya melarikan diri dari Pusat Pemulihan Akhlak yang terletak di New South Wales menggunakan alatan seperti pisau gergaji besi dan pemotong bolt.
Walaupun pelbagai usaha mencari lelaki itu giat dijalankan, pihak berkuasa masih gagal menjejaki lelaki berkenaan dan dia kekal menjadi pelarian polis selama 29 tahun seterusnya.
Namun ajaibnya, pada suatu hari lelaki itu secara tiba-tiba muncul di hadapan balai polis untuk menyerahkan diri.
Pihak polis yang bertugas pada ketika itu dikatakan ‘terkejut’ melihat kemunculan lelaki tersebut.
Setelah disoal, lelaki tersebut menyatakan bahawa wabak pandemik COVID-19 yang mengakibatkannya jadi gelandangan dan tidak mempunyai pekerjaan untuk menyara diri telah memaksanya menyerahkan diri.
Portal berita ABC melaporkan bahawa pelarian yang berasal daripada Yugoslavia itu telah melarikan diri ke pantai utara Sydney di mana dia bekerja sebagai pekerja pembinaan serta buruh untuk menyara hidupnya.
Kerana mempunyai status dikehendaki, dia selalu berjaga-jaga dan tidak mengelak untuk menceritakan apa pun berkenaan kisah dirinya.
Lelaki itu juga turut dilaporkan hanya berjalan kaki sekiranya mahu ke mana-mana kerana tidak boleh mengambil lesen memandu.
Dia juga difahamkan tidak pernah berjumpa dengan doktor atau doktor gigi selama 29 tahun bagi mengelakkan diri daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
Sebagai seorang pelarian yang paling terkenal di Australia, lelaki itu mempunyai sebabnya yang tersendiri mengapa dia perlu sentiasa elakkan daripada menjadi perhatian.
Ianya kerana, dia pernah tampil dalam siri TV popular Australia ‘Australia Most Wanted’ semasa ada orang yang pernah melaporkan melihatnya di utara Sydney.
Tanpa pengetahuannya, status orang yang dikehendaki itu telah ditamatkan selepas 20 tahun dia melarikan diri. Pihak jabatan imigresen sekalipun memutuskan untuk berhenti mencarinya.
Menurut portal Oddity Central, salah satu sebab yang mendorongnya untuk melarikan diri dari penjara adalah kerana dia takut untuk dihantar pulang semua ke Yugoslavia dan dihukum kerana melarikan diri daripada dikerah ke dalam pasukan tentera negara itu.
Walau bagaimanapun, ketika wabak pandemik COVID-19 melanda dunia, sektor pekerjaannya terpaksa diberhentikan operasi dan ini telah membuatkannya sesak untuk membayar sewa rumahnya.
Ekoran daripada itu, dia dilaporkan dihalau dari tempat tinggalnya kerana gagal membayar sewa dan terpaksa tidur di pantai.
Kerana tiada jalan lain, dia telah memutuskan untuk masuk ke penjara semula daripada menjadi gelandangan.
Pada pagi Ahad, lelaki tersebut berkeputusan untuk menyerahkan dirinya ke Balai Polis Dee Why dan dia telah didakwa dengan tuduhan melarikan diri dari tahanan dan seterusnya terus ditahan di penjara tanpa jaminan.
Lelaki itu kini perlu menjalani hukuman penjara minimum yang berbaki satu tahun dan satu bulan sebelum boleh memohon parol.
Namun begitu, dia juga dilaporkan menghadapi hukuman baru iaitu penjara maksimum tujuh tahun kerana melarikan diri dari penjara.
Sumber: Oddity Central