Beribu orang disahkan maut, 5 tragedi kemalangan kereta api paling dahsyat dalam sejarah
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kemalangan ngeri pertembungan dua LRT dalam laluan terowong di ibu kota. Nahas itu mengakibatkan 213 penumpang tercedera, di mana 166 daripadanya mengalami cedera ringan, 47 cedera parah dan enam (6) dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Disebabkan tragedi ini berlaku secara tidak dijangka, dikatakan ia adalah insiden kemalangan melibatkan LRT paling buruk dalam sejarah negara. Sudah tentu kebanyakan mangsa yang terselamat mengalami trauma yang teruk.
Tahukah anda, terdapat beberapa kejadian kemalangan kereta api terburuk yang pernah tercatat dalam sejarah? Apa yang membuatkannya ‘dikenang’ dalam sejarah adalah jumlah angka korban yang mencapai lebih 1,000 orang.
Mari kita mengimbas semula rekod kemalangan-kemalangan terdahulu di bawah ini.
5 tragedi kemalangan kereta api antara yang terburuk dalam sejarah
1. Elak lembu, sistem brek gagal & tergelincir di Bihar, India @ 6 Jun 1981
Sebuah kereta api di Bihar, India telah mengalami kemalangan ngeri dalam satu tragedi pada 6 Jun 1981. Pada ketika itu, kereta api yang padat dengan 1,000 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Mansi ke Saharsa.
Bagaimanapun masalah mula berlaku apabila kereta api tersebut melalui sebuah jambatan di Sungai Bagmati. Difahamkan ia mengalami masalah serta hilang kawalan, sebelum tergelincir dari landasan dan ‘terhumban’ ke dalam sungai.
Kemalangan tersebut mengakibatkan lebih 800 penumpang terkorban dipercayai akibat lemas di dalam sungai, selain lebih 100 mayat mangsa selainnya turut gagal ditemui. Operasi mencari dan menyelamat pula dilapor tergendala beberapa jam kerana cuaca hujan lebat yang melanda ketika itu.
Punca kejadian dikatakan berlaku akibat sistem brek yang gagal berfungsi. Ada mangsa terselamat pula mendakwa terdapat seekor lembu di landasan, sebelum pemandu kereta api cuba untuk membrek namun gagal dan akhirnya tergelincir ke arah sungai.
Faktor lain pula dikatakan berpunca akibat keadaan gerabak yang sangat padat dan berat dengan jumlah penumpang hingga ramai yang sanggup berdiri di atas bumbung.
Menurut laporan, lima hari selepas tragedi itu, pihak penyelamat berjaya menemui kira-kira 286 lagi mayat mangsa. Kerajaan menyatakan bahawa insiden ini merupakan kemalangan kereta api yang terburuk dalam sejarah India.
2. Dipandu terlalu laju & tergelincir di Awash, Ethiopia @ Januari 1985
Sementar itu di benua Afrika, sebuah kereta api terlibat dalam nahas ngeri di bandar Awash, Ethiopia pada Januari 1985 lalu apabila ia tergelincir dari landasan.
Menurut sumber laporan, pada awalnya kereta api jenis ekspres tersebut sedang melintasi sebuah jambatan yang menghubungkan stesen Arba dan Awash di laluan Addis Ababa ke Djibouti di bandar itu.
Bagaimanapun berlaku insiden tidak dijangka apabila ia terjatuh di satu kawasan lekukan sebelum tergelincir, lantas mengakibatkannya hilang kawalan dan terbabas keluar dari landasan.
Difahamkan, seramai 1,000 penumpang terlibat dalam nahas berkenaan, di mana 400 daripadanya dilaporkan terkorban. Selain itu, antara punca yang dipercayai menjadi penyebab nahas adalah kelajuan kereta api yang melebihi kadar yang dihadkan.
Kerajaan Ethiopia beranggapan nahas kereta api di Bandar Awash ini menjadi tragedi kemalangan kereta api terburuk dalam sejarah benua Afrika.
3. Letupan paip gas sebelah landasan di Ufa, Russia @ 4 Jun 1989
Ketika era Soviet Union dulu, berlakunya satu tragedi kemalangan kereta api di Bandar Ufa, Russia pada 4 Jun 1989. Ketika itu terdapat dua buah kereta api masing-masing sedang dalam perjalanan dari Novosibirisk – Black Sea dan Novosibirisk – Black Sea (bertentangan).
Namun ketika sedang merentas wilayah Iglinsky, berlaku kebocoran paip gas di satu jajaran paip berhampiran landasan yang melepaskan cecair gas semulajadi ke udara hingga menyebabkan kebakaran.
Pihak juruteknik menerima laporan kebakaran itu, lantas mereka membaiki semula kadar tekanan gas dalam paip tersebut menjadi normal. Bagaimanapun mereka tidak menyedari bahawa masalah utama adalah kebocoran gas.
Ketika itu, geseran roda besi kereta api di atas landasan menghasilkan percikan api, sekaligus memarakkan semula api. Maka tidak semena-mena berlaku satu letupan yang sangat dahsyat sehingga mencapai 10,000 tan TNT.
Dalam sekelip mata, kereta api yang bergerak tadi meletup dan terbakar sebelum kedua-duanya hangus dimakan api yang marak. Dikatakan daripada 1,300 penumpang yang terlibat, 575 daripadanya terkorban, selebihnya cedera parah dan ianya menjadi tragedi kemalangan kereta api terburuk dalam sejarah Soviet Union.
4. Tong gas dapur meletup di Al-Ayyat, Mesir @ 20 Februari 2002
Kejadian ini berlaku sekitar 2 pagi dengan melibatkan sebuah kereta api penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Kaherah ke Luxor. Difahamkan, semua penumpang tersebut menuju ke Luxor bagi menyambut sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun itu.
Ketika dalam perjalanan, sebuah tong gas memasak di dapur gerabak kelima meletup hingga berlaku kebakaran yang marak membakar ketujuh-tujuh gerabak. Lena penumpang terhenti dan masing-masing bersesak-sesak ke pintu untuk menyelamatkan diri.
Walaupun situasi di gerabak penumpang sangat kritikal, namun ia tidak disedari oleh pemandu di gerabak hadapan kerana dipercayai berlaku kesilapan teknikal pada alat penggera keselamatan.
Akhirnya setelah empat batu meluncur dalam keadaan terbakar, barulah pemandu menyedari kejadian itu dan segera berhenti di bandar Al-Ayyat. Bagaimanapun nasi sudah menjadi bubur. Ramai penumpang tidak sempat selamatkan diri kerana terbakar hidup-hidup.
Menurut laporan, kira-kira 383 penumpang dilapor terkorban, selain hampir 40 mayat ditemui hangus di sepanjang landasan. Merujuk sumber lain, kereta api itu juga dikatakan membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan.
5. Kereta api tenggelam dihempas badai tsunami di Sri Lanka @ 24 Disember 2004
Pada 24 Disember 2004, berlaku fenomena tsunami besar yang melanda perairan Sri Lanka. Ketika itu kereta api bernama Queen of The Sea yang padat dengan lebih 1,700 penumpang sedang dalam perjalanan dari Colombo menuju ke Galle.
Bagaimanapun perjalanan sejauh 110 kilometer itu tergendala apabila kereta api itu ‘dihempas’ ombak tsunami ketika berada berdekatan dengan stesen Telwatta, sebuah stesen kereta api tepi laut di wilayah Peraliya.
Ombak tsunami yang besar itu memberi impak yang sangat kuat di kawasan tersebut. Akhirnya gerabak masing-masing terpisah, landasan ‘teralih’ jauh dan hancur, stesen tenggelam dan kampung di situ turut terjejas.
Menurut laporan, tragedi kapal api dihempas tsunami ini telah mengorbankan kira-kira lebih 1,00o nyawa dan menjadi kemalangan kereta api paling dahsyat dengan angka kematian mencapai ribuan orang.
Sumber: Railway Technology / BBC / India Today / The Moscow Times / The Guardian