Beri sokongan terhadap kempen bendera putih, PU Riz bantu 110 keluarga susah
Turut terkesan dengan keadaan semasa di mana ramai yang dihimpit kesusahan hidup, suami kepada selebriti terkenal Neelofa, PU Riz tampil membantu 110 keluarga kurang berkemampuan di Kuala Lumpur, semalam.
Difahamkan lagi, pendakwah bebas Haris Ismail berkenaan telah menyalurkan sumbangan makanan serta barangan keperluan asas bersama NGO, Pertubuhan kasih Neelofa.
Sedar ramai yang susah
Memetik temubual mStar, bekas peserta Pencetus Ummah berusia 36 tahun tersebut menerima mesej peribadi (DM) daripada ramai individu yang meminta bantuan di Instagram.
Selain itu apabila terbaca tentang kempen kibar bendera putih, PU Riz sedar semakin ramai berada dalam kesusahan dan dia perlu bertindak.
“Diakui hampir setiap hari saya mendapat mesej peribadi di Instagram yang meminta bantuan. Malah, apabila terbaca mengenai kempen kibarkan bendera putih ini saya sedar semakin ramai yang berada dalam kesusahan.
“Selepas mendapat maklumat ada keluarga di Taman Jinjang Baru yang mengibarkan bendera putih, saya bersama pasukan Pertubuhan Kasih Neelofa ambil keputusan untuk ke sana,” katanya.
Tak salah kibar bendera putih, tanda kasih sayang
Mengulas lanjut tentang kempen kibarkan bendera putih, PU Riz menyatakan ia merupakan 1 usaha rakyat Malaysia atas keprihatinan sesama insan.
“Malah, tidak ada unsur paksaan pun dalam melaksanakan perkara ini. Jadi, tak salah kalau ada mana-mana pihak membantu mereka yang kibarkan bendera putih ini.
“Ini 1 lagi cara bagaimana kita menunjukkan rasa berkasih sayang antara satu sama lain terutama dalam hidup bermasyarakat,” ujarnya.
Terdahulu, PU Riz turut menghadiahkan RM300 kepada 30 pelajar yang memperolehi keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam pada itu, Pertubuhan Kasih Neelofa turut menyerahkan kelengkapan 100 set jenazah berharga RM41,900 kepada Pondok Maheliah di Kota Bharu, Kelantan untuk menyediakan khidmat pengurusan jenazah secara percuma buat golongan asnaf.
Sumber: mStar (Nur Asyikin Mayudin)