Berhimpit rebut ikan 10 sen seekor, netizen pertikai SOP kelaut
Sempena pembukaan Mydin Tunjung, Kota Bharu yang dibuka hari ini, gedung serbaneka mengadakan promosi ikan mabong yang dijual pada harga 10 sen seekor.
Gara-gara promosi tersebut, tular video yang dimuat naik Instagram @kulinerKelantan memaparkan warga Kelantan dilihat berebut-rebut untuk mendapatkan ikan berkenaan.
Dalam dilihat pengunjung yang membeli berpusu-pusu serta tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika mahu mendapatkan ikan berkenaan.
Video tular itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang terkejut serta mengecam tindakan pembeli yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Malah, ada yang meluahkan rasa bimbang keadaan yang berlaku itu boleh meningkatkan kes Covid-19 di Kelantan.
Tidak kurang juga ada yang meninggalkan komen sindiran selepas ini muncul kluster ikan 10 sen pula serta ada yang menegur pembeli lelaki dan perempuan dilihat bercampur.
Difahamkan pembukaan cawangan pasar raya ke-67 di Kelantan itu melibatkan keluasan hampir 1 juta persegi dan merupakan Mydin terbesar di Malaysia.