Bekas PM Jepun dikhuatiri maut ditembak ketika berucap

Bekas PM Jepun dikhuatiri maut ditembak ketika berucap

 

 

 

 

 

Bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe dikhuatiri maut selepas ditembak ketika sedang berkempen di wilayah Nara hari ini, lapor media tempatan.

Penyiar nasional NHK berkata susulan kejadian itu seorang lelaki berusia 40-an ditahan kerana cubaan membunuh dan pistol dirampas daripadanya, memetik sumber polis.

Sebelum kejadian, bekas pemimpin itu menyampaikan ucapan pada majlis menjelang pilihan raya Dewan Perwakilan Ahad ini apabila bunyi tembakan yang jelas kedengaran, menurut NHK dan agensi berita Kyodo.

“Beliau sedang berucap dan seorang lelaki datang dari belakang,” kata seorang wanita di tempat kejadian memberitahu NHK.

“Tembakan pertama berbunyi seperti mainan. Beliau tidak jatuh dan ada bunyi dentuman besar. Tembakan kedua lebih jelas, anda boleh lihat percikan api dan asap.

“Selepas tembakan kedua, orang ramai mengepungnya.”

Berikutan tembakan itu, Abe, 67, rebah dan cedera di leher, sumber Parti Liberal Demokratik (LDP) memberitahu agensi berita Jiji.

 

Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan ditembak pada acara kempen di wilayah Nara. Foto Reuters
Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan ditembak pada acara kempen di wilayah Nara. Foto Reuters

 

 

Lokasi kejadian bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan ditembak. - Foto Reuters
Lokasi kejadian bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan ditembak. – Foto Reuters

 

LDP mahupun polis tempatan tidak dapat mengesahkan laporan dengan segera.

NHK dan Kyodo melaporkan Abe dibawa ke hospital dan dilaporkan berdepan situasi ‘cardo-respiratory arrest’ (fungsi jantung dan pernafasan terhenti).

Beberapa media melaporkan beliau kelihatan ditembak dari belakang, mungkin dengan senapang patah.

Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, memegang jawatan pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

Kerajaan berkata pasukan petugas ditubuhkan susulan insiden itu dan jurucakap tertinggi kerajaan dijangka mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Jepun mempunyai beberapa undang-undang kawalan senjata yang paling ketat di dunia, dan kematian tahunan akibat senjata api di negara yang mempunyai 125 juta orang itu selalunya dalam satu digit.

Permohonan mendapatkan lesen senjata api adalah proses yang panjang dan rumit walaupun untuk warga Jepun, yang mesti mendapatkan cadangan daripada persatuan menembak terlebih dahulu dan kemudian menjalani pemeriksaan polis yang ketat. – AFP