Bekas pelumba GP negara, Elly Idzlianizar maut akibat ditetak & ditikam pedang samurai

Bekas pelumba GP negara, Elly Idzlianizar maut akibat ditetak & ditikam pedang samurai

 

Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40 awal pagi semalam adalah disebabkan kecederaan parah akibat ditetak selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar antara jam 9 hingga 10 malam pada Selasa lalu, apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat sekitar jam 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya kejadian pergaduhan di taman perumahan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.

“Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.

“Namun, mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Katanya, susulan daripada itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kangar.

“Semasa penahanan dibuat juga, kita turut merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter (cm) yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

“Siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan dimana satu kesa tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.

“Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk termasuklah saluran darah di bahagian tangan mangsa cedera parah sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamanannya di taman perumahan itu.

“Mangsa tiba ke rumah suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru namun suspek bagaimanapun tiada di rumah dan hanya anak dan isterinya saja yang ada.

“Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.

“Kita difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduan seperti semalam namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat,” katanya.

Yusharifuddin berkata, pihaknya turut menyiasat sekiranya wujud unsur kongsi gelap dan gangster dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Daripada saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah manakala semakan kita mendapati suspek utama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.

“Suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dadah manakala suspek ketiga yang berusia 31 tahun yang juga anak kepada suspek pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah,” katanya.