Bekalan ayam kurang, peniaga tutup awal perniagaan

Bekalan ayam kurang, peniaga tutup awal perniagaan

Kekurangan bekalan ayam segar menyebabkan kebanyakan peniaga ayam kehabisan stok seawal jam 7 pagi dan terpaksa menutup awal perniagaan mereka.

Tinjauan di pasar basah sekitar Taman Dahlia, Tampoi dan Perling, di sini kira-kira jam 9 pagi, mendapati hampir semua lot niaga yang menjual ayam segar sudah ditutup dengan pekerja sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pengguna yang tiba di pasar basah berkenaan juga dilihat kecewa apabila mendapati tiada lagi ayam segar untuk dibeli untuk keluarga mereka.

Peniaga ayam di Pasar Taman Dahlia, Abdul Nasir Mohd Noh, 50, berkata kekurangan bekalan ayam segar menyebabkan ayam dijualnya habis jam 7 pagi tadi.

Katanya, pengguna berpusu-pusu membeli ayam segar awal pagi tadi apabila laporan bekalan ayam tiada hari ini hingga Isnin nanti tular di media sosial.

“Hari ini bekalan ayam segar memang tidak cukup, sangat sedikit. Semua peniaga ayam di pasar ini sudah kehabisan bekalan pada jam 7 pagi tadi menyebabkan terpaksa menutup lot niaga masing-masing seawal jam 9 pagi.

“Sebelum ini saya biasa tempah 2,000 ayam sehari daripada pembekal, namun sejak bulan puasa lalu, hanya dapat antara 200 hingga 500 ekor. Saya dan beberapa peniaga dalam proses mendapatkan ayam segar daripada Thailand, harganya pun lebih kurang harga ayam di negara kita.

“Insya-Allah, jika berjalan lancar, seminggu dua ini kami akan dapat bawa masuk bekalan ayam dari Thailand. Kekurangan ayam segar dan bekalan tidak stabil bukan sahaja mengecewakan pengguna, malah kami peniaga pun buntu apatah lagi sering ditekan pembekal yang menetapkan harga tinggi,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, penutupan sementara sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin, Melaka pada hari ini dan esok tidak akan menjejaskan bekalan di pasaran.

Katanya lagi, kementerian sudah menerima penjelasan syarikat pengeluar ayam terbabit bahawa tindakan itu bagi membolehkan ayam yang dihasilkan menepati saiz ditetapkan bagi dipasarkan.

Pengguna, Bakar Umarsyah, 42, dia terpaksa menangguhkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang sepatutnya diadakan esok selepas gagal mendapat bekalan ayam walaupun sudah ke empat pasar basah selian pasar raya besar hari ini.

“Saya dan keluarga sangat kecewa apabila ayam segar tiada langsung di bandar raya ini. Semalam,peniaga kata bekalan di Johor Bahru dijangka tidak terganggu, namun apabila saya ke beberapa pasar dan pasar raya, memang tiada bekalan ayam segar.

“Diharap kerajaan ambil serius isu kekurangan bekalan ayam segar yang membuatkan harganya dikata akan melonjak RM12 sekilogram. Buatlah sesuatu, makanan asas pun sudah tidak ada, pengguna tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

Peniaga makanan, Salmah Ahmad, 56, pula berkata, ketiadaan bekalan ayam yang dijangka hingga Isnin ini menyebabkan dia juga tidak dapat membeli ayam dalam jumlah biasa.

“Biasanya saya tempah 15 ekor setiap dua hari, namun peniaga hanya dapat beri 10 ekor kerana bekalan tiada. Saya risau jika bekalan terus tiada, peniaga kecil seperti kami yang mengharapkan pendapatan harian tidak dapat berniaga pula selepas ini. Menu ayam disukai ramai, jika tiada susahlah,” katanya.

Sumber : Berita Harian