Batal hasrat terjun bangunan selepas dipujuk bomba
Bintulu: Wanita membatalkan hasratnya untuk terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di sini, hari ini selepas ‘cair’ dengan pujukan anggota bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 12.42 tengah hari untuk bantuan khidmat khas selepas mendapati seorang wanita cuba terjun dari bangunan itu.
Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudiannya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati memang benar ada seorang wanita berdiri di tingkap tingkat tiga bangunan itu.
“Melihat tindakan wanita itu, anggota bomba menghampirinya dan memujuknya,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba tidak mengambil masa lama apabila wanita itu akur dan membatalkan hasratnya untuk terjun selepas dipujuk anggota bomba.
“Wanita berusia 29 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan dan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.