“Kutip RM1 seorang” – Netizen nak bantu bayar ikat jamin RM30k ‘Abang Bas’

“Kutip RM1 seorang” – Netizen nak bantu bayar ikat jamin RM30k ‘Abang Bas’

 

Netizen nak bantu bayar ikat jamin atas dasar simpati dengan nasib menimpa pemuda yang dikenali sebagai Abang Bas selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, baru-baru ini.

Meninjau di ruangan komen sebuah hantaran di TikTok, ramai netizen meluahkan rasa simpati terutama melihat pemandu bas berusia 24 tahun itu menangis ketika rayuan ikat jamin.

Bersimpati dengan nasib pemuda itu, ramai mahu menghulurkan bantuan dengan membuka tabung dana bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung.

Salah seorang pengguna TikTok mencadangkan untuk membuat kutipan sebanyak RM1 seorang bagi membantu Abang Bas membayar ikat jamin sebanyak RM30,000.

“Jom semua kita kutip RM1 seorang tolong abang bas (emoji sedih),” tulis seorang pengguna TikTok.

Cadangan tersebut disambut baik oleh orang ramai dan mereka juga mahu menghulurkan wang meringankan beban yang ditanggung.

Mereka juga berharap agar ahli keluarga pemandu bas itu membuka tabung sumbangan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Mereka juga berpendapat apa yang dilakukan oleh Abang Bas itu tidak salah dan terdapat segelintir pihak telah salah tafsir mengenai konten dimuat naik di media sosial.

Terdahulu, Abang Bas didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak iaitu tertuduh didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak suadaranya bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat untuk perbuatan tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, Abang Bas dituduh telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang yang membawa maksud seksual dan kejadian itu berlaku antara pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan Amang Seksual Bukan Fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Umar Zulkarnain merayu jaminan sebanyak RM50,000 yang dikenakan bagi setiap pertuduhan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

Susulan itu, Hakim Sayani Mohd. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan diminta pihak pendakwaan.