Bangkok arah turunkan papan iklan sokong P4le5t1n

Bangkok arah turunkan papan iklan sokong P4le5t1n
Pemilik sebuah bangunan di Bangkok memaparkan papan iklan yang menyatakan sokongan terhadap perjuangan penduduk Palestin. – Foto The Public Post Online

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand mengarahkan pemilik sebuah bangunan di Bangkok menurunkan sekeping papan iklan yang menyatakan sokongan terhadap perjuangan penduduk Palestin.

Papan iklan itu memaparkan bendera Palestin dengan tanda pagar #FreePALESTINE dan imej Masjid Al-Aqsa, yang diletakkan pada sisi sebuah bangunan.

Ia dilaporkan dinaikkan oleh sekumpulan penduduk Islam di Thailand sebagai tanda sokongan kepada perjuangan penduduk Palestin.

Difahamkan, pihak berkuasa negara itu meminta pemilik bangunan menurunkan papan iklan terbabit kerana dikatakan boleh merosakkan hubungan antara kerajaan Thailand dengan Israel.

Bagaimanapun, pemilik bangunan itu dikatakan enggan menurunkan papan iklan terbabit.

Susulan itu, satu amaran diberikan kepadanya, yang menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika papan iklan itu terus berada di situ.

Seorang aktivis politik Thailand, Veera Somkwamkid, berkata papan iklan menyokong Palestin itu tertakluk di bawah perlindungan hak kebebasan bersuara di Thailand dan sepatutnya dibenarkan. – AGENSI