Azza Elite dimaki Azwan Ali gara-gara lambat serah tempahan sejadah “sampai hati.. bapa saya baru meninggal”
MASIH bersedih dengan pemergian bapa tercinta pada Isnin, penyanyi dan pelakon Azza Elite terpaksa berdepan dengan kata-kata kesat gara-gara lambat menyiapkan tempahan sejadah jualannya.
Dakwaan lambat menyiapkan sejadah itu dibangkitkan oleh pengacara Azwan Ali menerusi laman Instagram memberitahu sudah seminggu menunggu tempahan yang dibuat sebelum ini.
Menjawab tuduhan itu, Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari memohon agar Azwan dapat memahami situasi yang sedang dilaluinya ketika ini.
Azza berkongsi berita sedih kehilangan bapa pada Isnin.
“Sampai hati dia tulis begini. Bapa saya baru meninggal semalam (Isnin). Jangan suka-suka hati maki.
“Sebab dah terbiasa mulut tu, maki orang jadi makanan kau! Niat tu baik hendak beli sejadah, aku bersyukur tetapi dalam masa sama fikir juga keadaan orang lain.
“Saya kehilangan ayah. Jangan buat anak yatim begini bang. Ini kali aku lawan!” katanya menerusi laman Instagram pada Selasa.
Sementara itu, Azza mengakui sibuk menguruskan keluarga menyebabkan dia tidak dapat fokus kepada perniagaan.
“Saya tak pernah cari fasal dengan sesiapa. Balik dari Singapura saya sibuk uruskan mak, bapa pula sakit.
“Saya tak boleh fikir orang nak beli sejadah atau sebagainya kerana hanya fokus keadaan ibu bapa,” jelasnya.
Saya tak pernah cari fasal dengan sesiapa. Balik dari Singapura saya sibuk uruskan mak, bapa pula sakit
AZZA ELITE
PENYANYI/PELAKON
Terdahulu, Azwan atau Diva AA menerusi laman sosial miliknya meluahkan rasa tidak puas hati apabila terpaksa menunggu lama tempahan sejadah yang dibeli.
“Dah seminggu aku tunggu sejadah kau. Kau sibuk jahit sejadah ke? Inilah bisnes dengan orang Melayu.
“Duit aku berkepuk-kepuk (banyak). Aku mampu bayar. Tak hadap percuma dari kau,” ujarnya.