Ashira umum undur diri dari menyanyi, mohon beri ruang “bye dunia tipu-tipu”
Selepas 23 tahun bergelar penyanyi, Ashira Aziz mengumumkan pengunduran diri dari industri seni untuk menjalani kehidupan biasa.
Menurut laporan Kosmo! Online, penyanyi berusia 38 tahun itu tidak mahu lagi menjadi perhatian dengan membawa gelaran sebagai anak seni.
Ashira berkata, dia berharap orang ramai menghormati keputusannya bagi meninggalkan dunia popular bagi meneruskan kehidupan bersama anaknya dan ahli keluarga.
“Masanya sudah tiba. Tahun 1999 hingga 2022. Satu pengembaraan yang sarat keperitan dan pengalaman hidup.
“Saya akan simpan semua kenangan manis di lubuk hati yang paling dalam. Masa untuk menutup buku dari sekarang buat selama-lamanya.
“Tolong hormati keputusan ini. Biarkan saya teruskan kehidupan bersama anak lelaki dan keluarga saya tanpa sebarang perhatian,” tulisnya menerusi beberapa posting di InstaStory.
Pada masa sama, bekas peserta program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu mengucapkan terima kasih selain menghargai sokongan peminat selepas membabitkan diri dalam industri sejak tahun 1999.
“Terima kasih atas sokongan terutama buat peminat saya dari dahulu sehingga sekarang. Saya mohon maaf tidak dapat meneruskan perjalanan ini.
“Anda boleh saja ‘unfollow’ atau ‘unfriend’ saya (dalam media sosial). Bye-bye dunia tipu-tipu. Ashira Aziz ucapkan selamat tinggal,” katanya.
Terdahulu, kisah peribadinya menjadi tumpuan ketika bercinta dengan rakan seperjuangan GV7 iaitu Bad Indigo sehingga mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021.
Walau bagaimanapun, pasangan itu mengumumkan hubungan mereka sudah berakhir tetapi masih berkawan baik pada Jun lalu.
Sumber: Kosmo! Online (Hanisah Selamat)