Anggota bomba sedih ada yang hentam pasukan penyelamat -“Kami takda masa nak ambil gambar & rakam video”

Anggota bomba sedih ada yang hentam pasukan penyelamat -“Kami takda masa nak ambil gambar & rakam video”

Bencana banjir dahsyat yang berlaku beberapa hari lalu memperlihatkan ribuan penduduk di sekitar Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata selepas rumah mereka ditenggelami air sehingga ke paras bumbung. Lebih memilukan, ada di antara mangsa yang terpaksa menunggu selama sehari sebelum diselamatkan oleh orang awam dan pihak berkuasa.

Ketika itu, muncul persoalan dalam kalangan warganet mengenai kesiapsiagaan dan kebertanggungjawaban pasukan penyelamat seperti bomba, tentera, polis dan pertahanan awam dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkandas atau terperangkap di lokasi banjir.

Susulan itu, di FB Marl Akmal, seorang anggota bomba, Mohamad Akmal Mohamad Khairi menjelaskan kepada orang ramai mengenai situasi pihak bomba ketika kejadian. Menurutnya, ada yang melemparkan cacian dan tohmahan terhadap mereka kerana lambat tiba di lokasi kejadian walaupun sebenarnya bilangan aset dan anggota sangat terhad.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Yang mana menghentam pasukan penyelamat ni, meh aku nk share cerita sikit.

Kami bertugas di balai, keanggotaan setiap balai adalah anggaran 7 hingga 12 orang bagi setiap shif. Bila ada panggilan kecemasan banjir, kami semua akan bergegas ke lokasi panggilan yang pertama dahulu. Bila berlakunya bencana, panggilan kecemasan yang masuk kebiasaannya akan bertalu-talu dan tanpa henti. Tak termasuk lagi panggilan direct ke handphone anggota dan pegawai. Persoalannya, bagaimana kami nak hadir 10 tempat berbeza dalam masa yang sama?

Kami bertugas mengikut SOP dan KPI yang ditetapkan. Amalan kami sama seperti agensi lain, iaitu safety first. Kami bukan boleh sebarangan melakukan tugas menyelamat tanpa ambil kira soal risiko pada diri sendiri mahupun rakan sepasukan. Apa yang dah jadi pada kami pada tahun 2018 cukup terkesan pada diri kami hingga hari ini. 6 sahabat seperjuangan kami pergi meninggalkan kami serentak. Hanya Allah yang tahu hati kami.

Kami sedaya upaya membantu mengeluarkan mangsa banjir.. dengan segala apa yang kami ada. Kalau tiada bot, kami guna sampan. Kalau tiada sampan, kami sanggup dukung dan pikul mangsa sehingga ke tempat selamat. Kami tiada masa untuk merakam video atau mengambil gambar ketika bekerja kerana kami sememangnya tiada masa untuk berbuat demikian.

Ada kala, bencana yang berlaku sangat luar biasa hingga membataskan tindakan menyelamat kami. Ketika itu, masa dan peluang adalah amat terhad untuk kami bertindak. Namun apakan daya, kami tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang.

Cukup sedih bila ada yang sewenangnya melemparkan tohmahan dan cacian kepada kami hanya kerana geram kami lambat tiba atau langsung tidak kunjung tiba di tempat anda. Wahai saudara, bilangan kami terhad, aset kami terhad. 1 pasukan penyelamat terpaksa respon berpuluh malahan beratus panggilan.

Dalam masa itu, kami akan utamakan kes yang boleh kami respon bergantung kepada tahap bahaya dan risiko yang bakal kami hadapi. Persoalan lagi, bila air naik, apa yang anda lakukan? Mengapa tidak bersiap untuk berpindah? Mengapa tidak turut bersama memberi amaran kepada yang lain untuk berpindah? Adakah kami ibarat hamba abdi anda untuk menurut segala perintah anda? Ingat, kami tidak terkecuali membayar cukai seperti anda juga.

Ada masanya, kami sanggup mengambil risiko tinggi demi menyelamatkan nyawa yang bahaya. Hingga ada kala nyawa kami ibarat di hujung tanduk ketika menyelamatkan anda. Risiko lemas, hanyut, dijangkiti kuman merbahaya dan ditimpa atau dilanggar objek dalam banjir sanggup kami hadapi untuk anda. Tetapi ada kalanya setelah kami menggadai nyawa, rupanya anda tidak langsung berada dalam bahaya.

Cuma yang berlaku hanyalah terputus bekalan air atau elektrik, atau lapar kerana tiada makanan. Kami bukan petugas penghantar makanan, dan kami juga bukan pemandu peribadi anda untuk menghantar anda sesuka hati anda. Bahkan, kami sendiri kelaparan, kesejukan dan keletihan mental serta emosi. Tapi demi anda, kami tolak tepi untuk tetap membantu.

Berbalik kepada anggota yang bekerja 12 jam sehari mengikut shif, apabila berlakunya bencana, kami tidak tamatkan shif kami dengan balik tepat pada masa. Kami sanggup bekerja lebih masa tanpa mendapat apa-apa bayaran overtime demi keselamatan nyawa dan harta-benda anda. Ada kala, apabila kami muncul membantu, tiada langsung sikap menghargai walau dengan ucapan terima kasih. Ada lebih teruk, pengorbanan kami dibalas dengan cercaan lambat, lembab, makan gaji buta dan macam2 lagi.

Kepada diri saya sendiri, saya bertugas di pejabat bomba mengikut waktu pejabat. Akan tetapi, apabila terima panggilan kecemasan, saya perlu hadir ke lokasi tidak kira waktu dan masa. Tengah malam, pagi buta, hari cuti dan waktu rehat pon tetap akan saya hadir demi tugas. Bila berlakunya bencana, tugas selaku pegawai kanan sedikit berbeza dengan anggota shif.

Pegawai kanan tiada shif. Mereka perlu bertugas merancang, mengkoordinasi dan mengawal tindakan operasi sehingga keadaan selesai. Kadang kala, memakan masa hingga lebih 48 jam lamanya. Kami terpaksa melupakan waktu rehat. Kami terpaksa melupakan saat bersama anak dan isteri. Kami terpaksa melupakan penat jerih kami di pejabat kerana kami tahu, tugas kami masih belum berakhir.

Akhir kata, fahamilah kami juga. Kami juga manusia. Kami juga ada keluarga. Kami juga ada batas kemampuan. Dan kami juga ada hati dan perasaan. Fikirlah dahulu sebelum berkata-kata.

Mohamad Akmal Mohamad Khairi
Anggota bomba
20 Disember 2021.