Anak pergi ketika usia 2 tahun akibat kanser darah, ibu sebak netizen tunai permintaan edit gambar
Minggu lalu, tular sebuah hantaran dari seorang wanita meminta jasa baik orang ramai grup Facebook Edit Apa Hari Ni? untuk menyunting gambar anaknya yang sudah meninggal dunia ketika berusia dua tahun tujuh bulan.
“Anak syurga saya meninggal di usia 2 tahun 7 bulan, dikira-kira sekarang sepatutnya dia dah berumur 13 tahun.
“Boleh ke kalau saya minta yang bijak yang pandai, iras-iraskan muka anak saya di usia 13 tahun? Saya redha, cuma saya rindu..”tulisnya.
Dalam hantaran yang meruntun hati itu, dia meminta ahli grup untuk menyunting wajah anak perempuannya yang ketika ini berusia 13 tahun jika masih ada.
Hanya cuba semampu yang boleh…
Rata-rata warganet mencuba nasib menyunting gambar kanak-kanak berkenaan menjadi seperti seorang gadis berusia 13 tahun seperti diminta oleh wanita berkenaan.
Rindu yang tiada penghujungnya..
Memetik laporan Harian Metro, wanita dikenali Roslina Hanim Ramli berkata, dia bukanlah mahu menidakkan qada dan daqar, tetapi merindui anaknya. Malah, rindu itu tiada penghujungnya.
Bercerita lanjut, wanita berusia 43 tahun berkata, anak perempuan bernama Dania Emelda Aqasha Mustaffa meninggal dunia akibat kanser darah pada tahun 2011 dan sehingga kini tidak pernah melupakan satu-satunya zuriat perempuanny itu
“Saya ibu yang membawanya sembilan bulan dalam kandungan dan bertarung nyawa melahirkannya. Jadi, sudah pasti rindu itu selalu ada,”katanya.
Sementara itu, wanita itu meluahkan rasa sebak dan terharu apabila dapat melihat ‘wajah’ remaja Dania walaupun sedar ia hanyalah sekadar imaginasi semata-mata.
“Saya cakap ‘cantik sangat anak ‘ibu’.
“Gambar yang disunting itu persis anak saya dan tak sangka dengan teknologi ketika ini saya dapat melihat Dania yang remaja biarpun mereka menyunting gambar ketikanya berusia dua tahun,”luahnya.
Tambah Roslina, anak kesayangannya itu disahkan menghidap kanser ketika berusia dua tahun dan tujuh bulan berjuang melawan penyakitnya itu.
“Dania demam ‘on off’ semalam dua minggu dan muka serta tangannya juga pucat sebelum ujian darah mengesahkannya kanser darah.
“Kami banyak habiskan masa bersama di hospital apabila Dania perlu menjalani rawatan kemoterapi. Dania anak yang kuat, petah dan periang,”ungkapnya lagi.
Roslina berkata, sebelum anak perempuannya meninggal dunia, Dania diserang sawan dan ditidurkan selama empat hari hospital.
Sumber: Facebook Edit Apa Hari Ni?, Harian Metro (Noor Hidayah Tanzizi)