Didakwa lakukan amang seksual, ‘Abang Bas’ menangis di kandang tertuduh

Didakwa lakukan amang seksual, ‘Abang Bas’ menangis di kandang tertuduh

 

Seorang pemuda yang dikenali sebagai Abang Bas menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.

Bagaimanapun menurut laporan Kosmo! Online, tertuduh yang berusia 24 itu mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.

Difahamkan mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak suadaranya bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Berdasarkan akta tersebut, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat untuk perbuatan tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, Abang Bas dituduh telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang yang membawa maksud seksual dan kejadian itu berlaku antara pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan Amang Seksual Bukan Fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Untuk isu ini, pihak pendakwaan memohon agar Abang Bas melapor diri pada setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak dibenarkan menganggu mangsa dan semua saksi pendakwaan termasuk kakak dan ibunya sendiri sebagai syarat tambahan sehingga kes selesai.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu jaminan sebanyak RM50,000 yang dikenakan bagi setiap pertuduhan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

Susulan itu, Sayani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan diminta pihak pendakwaan.

Beliau kemudiannya menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas kepada individu tersebut.

Tindakan itu diambil selepas melihat hasil kandungan Abang Bas yang bertindak menyentuh bibir, mengusap kepala dan membetulkan tudung murid sekolah yang berada di dalam bas dipandu olehnya.