Akhirnya cikgu Fadli didapati tidak bersalah, bebas daripada 3 pertuduhan

Akhirnya cikgu Fadli didapati tidak bersalah, bebas daripada 3 pertuduhan

GURU Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd Fadli Mohamed Salleh didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Keputusan berkenaan diumumkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan menerusi surat yang ditandatangani oleh Pengerusinya, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Surat yang mempunyai dua halaman tersebut mulai tular di media sosial sejak petang Selasa.

Berdasarkan surat berkenaan, ini bermakna guru subjek Matematik itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagaimanapun Mohd Fadli meminta jasa baik semua pihak agar tidak menyebarkan gambar surat berkenaan di media sosial kerana ia adalah maklumat sulit.

Sementara itu menjengah ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa syukur dan menyifatkan ia adalah keputusan yang wajar.

“Alhamdulillah, kemenangan bagi pihak guru dan ibu bapa.

“Tahniah cikgu, ramai yang mendoakan cikgu. Semoga usaha cikgu menjadi asbab kebaikan untuk semua anak-anak murid dan pendidikan negara.

“Teruskan berjuang… kami menyokong cikgu,” demikian antara komen netizen.

Beberapa hari lalu, tular kisah Mohd Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat gara-gara lantang mengkritik sistem pendidikan negara.

Antara isu yang disuarakan oleh guru berkenaan adalah silibus pendidikan, isu beg pelajar yang berat, dan beberapa isu lain.

Malah, isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Dalam sidang media pada tengah hari Selasa, Dr Radzi berkata beliau tidak boleh campur tangan malah enggan mendedahkan keputusan yang dibuat oleh lembaga tersebut