Agensi pelancongan mohon maaf, terkesan dipanggil ‘scammer’
Kisah bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dipercayai menjadi mangsa ‘scam’ satu syarikat agensi pelancongan swasta telah mendapat perhatian ramai.
Mana tidaknya, ada di antara mereka telah berada di KLIA sejak 28 Jun lalu memandangkan pihak agensi kerap memberitahu bahawa jadual penerbangan ke Jeddah ditukar-tukar.
Suasana KLIA menjadi begitu sebak sehingga meraih rasa simpati warganet kerana merasakan para jemaah sudah diperdaya dengan visa furada yang dijanjikan sebelum ini.
Akan pulang duit, ralat digelar scammer
Susulan daripada itu, menerusi laporan dari Astro Awani, wakil kepada syarikat agensi pelancongan tersebut, UC Travel telah memohon maaf menerusi hantaran mesej di aplikasi WhatsApp.
“Jutaan maaf dari kami pihak UC Travel. Kami sudah sedaya upaya berusaha untuk terbangkan jemaah, tetapi kami tidak berjaya.
Maka pihak kami akan membuat pemulangan wang kepada jemaah yang terlibat. Saya juga terkesan bila orang panggil kami scammer. Hakikatnya, kami di UC Travel sangat berusaha untuk terbangkan jemaah,” jelasnya.
Bakal adakan sidang media
Dalam pada itu, individu yang juga wakil kepada agensi pelancongan tersebut memaklumkan yang sebarang kenyataan perlu berbincang dengan peguam terlebih dahulu.
“Saya akan bincang dengan peguam saya dahulu. Kerana bukan kami sahaja yang gagal, ramai lagi agensi pelancongan gagal.
“Tetapi kami terkedepan kerana kami bawa jemaah ke lapangan terbang, kami memang mencuba sedaya upaya.
“Untuk ketika ini, semua group UC Travel sedang menjawab semua (persoalan) berkaitan jemaah kami,” katanya lagi.
Tambahnya, pihak UC Travel akan melakukan sidang media pada minggu hadapan bagi memberi penjelasan berkenaan kejadian yang menimpa hampir 400 bakal jemaah haji.
Setakat ini, 17 laporan polis telah dibuat bakal jemaah haji yang terkandas di sekitar Lembah Klang dan siasatan dijalankan oleh pihak polis dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.