Afieq Shazwan berkawan dengan ‘anak ikan’, rela dikecam
Pelakon meningkat naik, Afieq Shazwan mendedahkan dirinya sanggup berkenalan dan berkawan dengan ‘anak ikan’ bagi memahami cara hidup mereka demi menjayakan watak lakonannya dalam drama terbaharu berjudul Rampas Cintaku.
Pemilik nama Mohammad Shafieq Shazwan Zamros,25, berkata, dia terpaksa berbuat sedemikian bagi menjiwai watak lakonan sebagai seorang teman lelaki upahan memandangkan dia tidak mempunyai sebarang pengalaman sebegitu.
“Saya memang tiada pengalaman sebegini. Jadi, untuk tahu lebih mendalam mengenai kehidupan begitu, saya berkenalan dengan seorang ‘anak ikan’ untuk mengetahui kisah yang dilalui olehnya,”jelas Afieq.
Ujar Afieq, apa yang diceritakan oleh golongan tersebut sangatlah mempunyai persamaan dengan skrip drama yang diterimanya.
“Saya sendiri berkenalan dengan golongan ini supaya lebih tahu mengenai kehidupan mereka. Saya bertanya apa yang dilalui dengan orang yang berpengalaman.
“Apabila saya membaca skrip drama ini, saya melihat memang ada persamaan. Cuma di dalam drama pastinya ada tambahan-tambahan elemen lebih menarik,”katanya lagi.
Mengulas lanjut, Afieq mengatakan pada awalnya dirinya takut dan risau sekiranya dia menerima kecaman tapi demi menjayakan sesuatu watak itu dia sanggup memberanikan diri.
“Takut juga dengan kecaman tetapi itulah yang perlu dihadap. Ini adalah satu cabaran saya terima.
“Kalau ada orang nak labelkan saya anak ikan itu bermakna watak yang dibawakan menjadi. Namun, saya bukanlah orang yang begitu dalam kehidupan realiti.”jelasnya.
Sekadar info, drama ini mengisahkan tentang seorang wanita bersama Datin Safieya (Fasha Sandha) yang curang terhadap suaminya Datuk Jefri (Zarul Husin) selepas mengetahui lelaki itu turut melakukan perbuatan sama.
Safieya bertemu Rizal (Afieq Shazwan) dan menjanjikan kehidupan mewah jika bersetuju menjadi kekasih gelapnya.
Sumber: mStar (Farol Hadi)