Aedy Ashraf akui lamaran sebagai kekasih bukan gimik, tapi belum ada waktu dating

Aedy Ashraf akui lamaran sebagai kekasih bukan gimik, tapi belum ada waktu dating

 

 

Selepas hampir tiga bulan mengunci mulut mengenai spekulasi hubungan cintanya, pelakon popular Aedy Ashraf mengakui lamaran terbuka sebagai kekasih terhadap aktres jelita Amelia Henderson bukan gimik promosi produk seperti sangkaan ramai.

Penafian tersebut sekali gus mengiakan bahawa hubungan Aedy dan Amelia bukan sekadar kawan biasa sebaliknya sepasang kekasih yang sedang menjalin cinta.

Menurut Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 28, dia tidak pernah merancang untuk melakukan lamaran secara terbuka terhadap Amelia di sebuah festival makanan pada Mac lalu., sebaliknya berlaku secara semula jadi.

“Saya pun terkejut dengan tindakan spontan tersebut. Bukan saja lain tetapi saya termasuk Amelia pun terkejut.

“Lamaran tersebut saya tak rancang apa-apa pun. Kami berdua memang tak tahu apa-apa dan semuanya berlaku secara semula jadi,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Aedy berkata demikian selepas majlis doa selamat filem terbaharu lakonannya, War On Terror di Ibu Pejabat Multimedia Film di sini hari ini.

Berbeza dengan pasangan bercinta lain, pelakon drama Bila Hati Memilih Dia memberitahu dia dan Amelia tidak mempunyai masa untuk berjanji temu kerana jadual kerja yang sangat padat.

“Sejujurnya jadual kehidupan saya memang tak seimbang langsung.Kerja saya memang akan letak nombor satu, sampaikan masa dengan keluarga pun banyak dikorbankan.

“Tak ada masa nak berjanji temu (dating) pun. Mungkin saya seorang manusia yang terlalu cintakan kerja sehingga kasih sayang di tempat lain pun agak terabai.

“Amelia pun sangat sibuk sebenarnya dan persamaan kami mungkin perkara tersebut iaitu jadual kedua-duanya terlalu padat. Kami tak jumpa atau dating tetapi hanya berhubung melalu telefon sahaja,” kongsinya.

Terharu dengan sokongan peminat, dia berterima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti mendoakan untuk hubungannya bersama Amelia.

“Saya rasa terharulah sebab saya dapat sokongan penuh daripada peminat di Malaysia dan juga Singapura. Terima kasih untuk semuanya,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 27 Mac lalu kecoh dalam media sosial apabila tular video memaparkan Aedy melutut melamar Amelia sebagai kekasih hatinya semasa sebuah acara festival makanan.

Meskipun diasak dengan 1,001 soalan, Aedy mahupun Amelia tidak berkongsi lanjut mengenai status hubungan mereka.

Aedy dan Amelia dikatakan mula rapat selepas digandingkan sebagai hero serta heroin dalam drama berjudul Kisah Cinta Kita yang ditayangkan November tahun lalu.

Sebagai info, sekitar tahun 2018, Amelia mengesahkan sudah bercerai sengan dengan bekas suami iaitu Tunku Harunnarasheed Putra. Bagaimanapun, dia tidak berkongsi lanjut tarikh dan punca perceraiannya.