Viral kisah bayi ‘tertukar’, wanita gembira anak pulang ke pangkuan tapi sedih lepaskan bayi susuan
Semalam kecoh di media sosial mengenai seorang wanita yang mendakwa bayi yang baru dilahirkannya itu telah tertukar dengan bayi orang lain. Lebih mencemaskan apabila perkara itu hanya diketahui selepas mereka sudah pulang ke rumah.
Terkejut bayi tertukar
Detik cemas itu dikongsikan oleh pengasas kosmetik iaitu Siti Suriani atau lebih dikenali dengan nama Siti Jamumall menerusi Facebook Live. Menurut Siti, dia telah selamat melahirkan zuriat keduanya itu di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Esok pagi baru I cakap I nak tengok anak I boleh tak? Dalam pukul 8 ke 9 pagi macam tu baru dia hantar anak. Lepas tu bila dia hantar anak, dia tanya dengan I betul tak nama ni? Dia tunjuk dekat katil baby tu, I tengok nama baby of Siti Suriani. So I cakap lah betul sebab dia tak tunjuk tag dekat kaki baby. Lepas nurse keluar, I tanya husband I. Betul ke ini anak kita? Kenapa macam lain?
Tetapi mereka langsung tidak menyedari kejadian sebenar sehinggalah selepas pulang ke rumah ketika suami Siti mahu memotong tag pada kaki bayi dan melihat maklumat kelahiran menunjukkan bayi itu milik wanita lain. Dalam tag tersebut juga tertera bayi lelaki itu dilahirkan pada 10 Jun jam 3.02 petang sedangkan Siti melahirkan pada 11 Jun jam 2.36 pagi.
Bila saya balik, suami saya cabut tag pada kaki bayi dan suami hampir buang tag. Nasib baik baca nama tag kaki, tapi bila tengok nama ibu di tag kaki, nama ibu lain iaitu Dianah. Ini bukan drama, ini realiti. Sebelum ini hanya tengok drama anak tertukar, tapi kini jadi betul-betul kepada diri saya.
Nama pada tag kaki berbeza
Suami Siti kemudian menghubungi pihak hospital untuk memaklumkan tentang kejadian. Tidak lama kemudian, pihak hospital meminta pasangan ini membawa bayi ke hospital. Setibanya di sana, mereka mengesahkan memang benar bayi Siti tertukar dengan bayi Puan Dianah. Difahamkan, Puan Dianah telah discaj pada 11 Jun lalu dan mendakwa dia dan suami tidak menyemak dengan teliti tag nama bayi berkenaan.
Sebab pasangan tu merupakan anak yang pertama (dilahirkan) dan juga ibunya juga (bersalin) czer. Jadi diorang duduk berdua, diorang dah sayang sangat baby tu. Syukur sangat sebab anak Siti duduk dengan orang yang baik.
Difahamkan, mata Puan Dianah dan Siti sudah bengkak kerana menangis mungkin disebabkan mereka sudah sayangkan bayi itu dan sedih mahu melepaskannya. Rupa-rupanya dalam tempoh tertukar itu, Puan Dianah dan Siti sudah saling menyusukan bayi yang ada dalam pangkuan mereka. Difahamkan, kes bayi ‘tertukar’ ini akhirnya berjaya diselesaikan dengan aman tanpa menyalahkan kedua-dua belah pihak.
Apa-apa pun Siti nak berterima kasih banyak-banyak kepada semua yang mendoakan sampai lah baby Siti dapat. Syukur alhamdulillah. Sebagai pengajaran buat ibu ibu di luar sana yang bakal melahirkan tolong lah nanti double cek tag baby semua. Jadikan pengajaran semua.
Facebook Live
Perbualan bersama Puan Dianah
Sumber: Jamumall.com