Main game sambil beramal, kenali AboFlah “streamer” dermawan dengan 15 juta ‘subcribers’
Kalau korang jenis suka main game, suka tengok ‘live streaming’ game, suka tengok video-video di Youtube, mesti korang akan kenal dengan beberapa individu ‘terkenal’. Kat negara kita pun ramai ‘game streamer’ dan ‘Youtuber’ yang kita tahu.
Tapi ada satu lagi ‘game streamer’ dan ‘Youtuber’ yang korang kena kenal, dia bukan orang Malaysia atau Indonesia, tapi jauh di Timur Tengah sana. Tak lain tak bukan, insan tersebut ialah Hasan Suleiman.
Hasan Suleiman atau lebih dikenali dengan nama mayanya, AboFlah merupakan seorang ‘game streamer’ dan ‘Youtuber’ berdarah Arab yang berasal dari Kuwait. Nak kata terkenal tak terkenalnya AboFlah ni, dia ada ‘subscriber’ seramai lebih 15 juta orang di Youtube.
Secara umumnya, AboFlah ni seorang ‘game streamer’. Pendek kata memang kaki main game la secara ‘live streaming’. Siapa yang biasa ‘berentap’ di dunia game ni mesti kenal nama dia.
Selain itu, AboFlah juga merupakan seorang pencipta kandungan atau kita biasa sebut sebagai ‘content creator’. Kalau korang lihat di Youtubenya, pelbagai video yang dia muat naik dan kongsikan untuk tatapan peminatnya.
Kaya sebab main game, kaya budi bersedekah
Selain hebat beraksi dalam game, AboFlah ni juga boleh dikatakan ‘streamer’ yang sangat pemurah hati. Kalau korang perasan dalam videonya, AboFlah selalu berkata bahawa dia sentiasa ingin menambah jumlah subscribernya. Ini ‘lumrah’ mana-mana streamer atau Youtuber, termasuklah dia sendiri.
Menurut perkongsian di laman Facebook Kun Anta, AboFlah ada misi besarnya yang tersendiri untuk dibuat setiap kali bilangan subscriber bertambah. Apa yang dia buat ini bukan ‘biasa-biasa’, rasanya kita sendiri pun belum mampu buat.
Nak tahu apa yang ‘mamat Arab’ ni buat? Di bawah ini adalah tujuh ‘misi’ yang dia pernah dan berjaya laksanakan. Jom kita tengok satu-persatu.
1- Apabila cecah 5 juta pertama, dia bina masjid di Afrika.
2- Apabila cecah 8 juta, dia menanggung pengajian lapan orang pelajar untuk belajar di universiti swasta.
3- Apabila cecah 9 juta, dia menanggung perbelanjaan hidup sembilan orang anak yatim.
4- Apabila cecah 10 juta, dia melakukan satu projek kutipan untuk pesakit buta dan membuat kutipan dana sehingga berjaya mengumpul lebih RM1.2 juta serta mampu merawat kira-kira 1,500 pesakit.
5- Apabila cecah 12 juta, dia memindahkan pelarian Syria dari kem pelarian ke 12 buah rumah. Dikatakan perbelanjaan tersebut mencecah kira-kira RM82,000. Tak cukup dengan itu, dia buat pula kutipan dana dan hasil yang berjaya dikumpul pula mampu menambah sehingga 58 buah rumah lagi.
6- Apabila cecah 15 juta, dia melaksanakan aktiviti jelajah dan ziarah kanak-kanak yang sakit di beberapa buah hospital, serta memberikan mereka hadian dan bantuan kewangan.
7- Dalam satu kempen bantuan pelarian Syria secara besar-besaran, AboFlah merupakan antara penderma paling banyak menyumbang dalam kempen tersebut kerana dia didakwa menderma sebanyak RM41,000.
Di sebalik kehebatan bermain game sambil berceloteh di depan kamera, dari sudut lainnya AboFlah tetap ‘sembunyikan’ dirinya apabila membuat kerja-kerja kebajikan sedemikian. Dia pernah berkata,
“Tidak penting untuk orang ramai tahu siapa saya. Yang penting, mereka dapat lakukan apa yang saya lakukan dalam berbakti kepada manusia yang memerlukan,”
Itulah peribadi AboFlah yang mungkin tak ramai yang tahu. Kita boleh jadikan pemuda Arab ini sebagai idola sebenarnya, sebab di sambil kita seronok bermain game, jangan dilupakan juga nasib insan-insan yang memerlukan di luar sana.
Semoga ‘game streamer’, ‘Youtuber’ dan ‘content creator’ di negara kita pun boleh terinspirasi dan mampu buat macam dia juga. Jom kita tengok salah satu video AboFlah di bawah ini.