Janna Nick masih jalani rawatan dengan pakar sakit jiwa
Sebelum ini, Janna Nick mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya menghidap penyakit bipolar. Terbaru, Janna berkata dia masih lagi menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa.
Menurut Janna, dia akan berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa setiap minggu untuk mendapatkan rawatan berhubung masalah tersebut.
“Saya masih menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa dan akan berjumpa dengan doktor pada setiap minggu. Alhamdulillah, keadaan saya baik kerana sekarang berada di bawah pengambilan ubat-ubatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Janna berkata dia ada mengambil ubat-ubatan namun berdepan kesukaran ketika bekerja keran kesan ubat tersebut membuatkan dia rasa mengantuk dan tenang.
“Ada sedikit kesukaran kerana ubat tersebut tidak sesuai diambil ketika saya sedang bekerja. Kesannya akan membuatkan saya tenang dan berasa mengantuk. Sebab itu sudah tiga kali saya tukar ubat,” katanya.
Ditanya mengenai penerimaan keluarganya dengan keadannya itu, Janna berkata ibunya akui terkejut. Namun dia memberi penerangan kepada keluarga mengenai masalah yang dilaluinya.
“Jujurnya keluarga memang terkejut. Mereka tidak jangka pendedahan tersebut. Tapi sebenarnya keluarga tahu tentang beberapa cubaan saya untuk membunuh diri suatu ketika dahulu,” ujarnya.
Terdahulu, Janna mendedahkan dia mengalami masalah gangguan bipolar serta mengaku pernah dua kali cuba membunuh diri ketika di usia remaja.