“Kontrak saya dengan Swarovski tamat Disember 2020”
Sejak pagi tadi hangat diperkatakan apabila pihak syarikat syarikat batu kristal mewah dunia, Swarovski memaklumkan sudah tidak lagi bekerjasama dengan selebriti terkenal, Neelofa.
Ia susulan apabila ada netizen memuat naik status perbandingan bahawa selebriti Korea Selatan akan digugurkan sebagai duta jika terpalit dengan isu seakan sama dengan Neelofa.
Tampil menjelaskan mengenai statusnya bersama Swarovski, Neelofa berkata kontraknya bersama syarikat itu telah pun tamat pada hujung tahun lalu.
“Kontrak saya bersama Swarovski telah pun tamat pada Disember 2020 namun kami masih mempunyai hubungan yang baik dan akan terus kekal begitu. Harap ini jelas,” tulisnya di Twitter.
Untuk rekod, Neelofa merupakan wanita berhijab pertama dunia muncul sebagai penghias billboard jenama mewah itu sejak 2017. Malah, busana nikahnya turut dihiasi dengan 5,000 batu kristal Swarovski.