Layanan princess bapa pada ibunya buat ramai cair

Tanya sahaja mana-mana anak muda bagaimana hubungan antara ibu dan bapa mereka di rumah, pasti ramai yang akan mengatakan ibu mereka yang banyak bersusah payah untuk keluarga dan membanting tulang membuat kerja rumah agar anak-anak dan suami mendapat segala keperluan harian.

Situasi tersebut mungkin normal bagi kebanyakan keluarga, namun bagi seorang gadis Cina ini, dia bangga mempunyai bapa yang dapat dijadikan contoh dan menaikkan harapan wanita terhadap lelaki yang mereka pilih untuk dijadikan suami.

Dalam sebuah video TikTok yang tular, gadis atas nama finechina itu menunjukkan bagaimana bapanya melayan ibunya seperti ratu.

Jika kita biasa melihat isteri memakaikan suami stokin dan kasut, dalam keluarga gadis tersebut, bapanya yang memakaikan kasut untuk ibunya.

Selain itu, lelaki bernama Jianhua itu juga melakukan 90 peratus kerja rumah dan bertanggungjawab menyediakan hidangan untuk  mereka sekeluarga kerana tidak ingin isterinya penat membuat kerja. Malah dia juga menyediakan secawan teh untuk isterinya setiap pagi.

Tambahan pula, setelah 30 tahun berkahwin, dia masih menyuapkan isterinya makan dan memegang tangan isterinya ketika keluar berjalan.

Lelaki itu juga melakukan perkara-perkara kecil yang dia tahu akan membuat isterinya gembira seperti memetik bunga dan menjaga ibu mertuanya.

Ternyata sikap bapa gadis tersebut membuat ramai wanita mengidamkan lelaki dengan ciri-ciri yang sama dalam hidup mereka. -HCL