Rupanya ini faktor Maarten Paes boleh beraksi bersama skuad Garuda walaupun tiada darah Indonesia

Rupanya ini faktor Maarten Paes boleh beraksi bersama skuad Garuda walaupun tiada darah Indonesia

 

Penjaga gol skuad kebangsaan Indonesia, Maarten Paes menjadi wira pasukan ketika menghadapi Arab Saudi dan Australia dalam dua perlawanan kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini.

Kecemerlangan Paes di pintu gol yang menafikan beberapa percubaan berbahaya dari pihak lawan dalam dua aksi ini membantu Indonesia meraih dua mata dalam dua perlawanan.

Apa yang menarik di sini adalah Paes tiada darah Indonesia dan beliau tidak pernah tinggal di negara itu sebelum ini. Lantas bagaimana beliau boleh menyarung jersi skuad Garuda?

Kunci penting dalam proses penjaga gol FC Dallas itu mendapat kerakyatan Indonesia terletak pada neneknya iaitu Nel Appels-van Heyst.

Appels-van Heyst merupakan wanita Belanda yang dilahirkan di Kediri, Jawa Timur dan beliau pernah tinggal di Indonesia untuk beberapa waktu.

Dia dikategorikan sebagai kelompok Blijvers atau orang asli Eropah yang lahir di Indonesia sebelum negara itu mencapai merdeka. Di sini Paes boleh mendapatkan kerakyatan menurut undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan tempatan.

Selepas dilahirkan, van Heyst menghabiskan masa 5-6 tahun di Indonesia sebelum Perang Dunia II berlaku pada tahun 1942. Ini bermakna nenek Paes tinggal di Indonesia sejak kelahirannya sekitar tahun 1937.

Ketika perang meletus, van Heyst adalah salah seorang rakyat Belanda yang menderita. Sebagai orang Belanda asli, dia ditangkap oleh Jepun dan menghabiskan masa di kem tahanan yang ditubuhkan oleh Sepanyol dan Jepun. Dia juga terpaksa berpisah dengan ibunya.

“Apabila Perang Dunia II meletus, dia (nenek) tinggal di kem Sepanyol dan Jepun,” kata Paes.

Selepas perang tamat barulah dia pulang ke Belanda dengan menaiki kapal. Di sana, van Heyst memulakan hidup baru sehingga generasi keluarga baru lahir. Termasuk Maarten Paes yang dilahirkan pada 14 Mei 1998.

Paes memberitahu mengapa beliau menerima tawaran untuk beraksi bersama Garuda ialah kerana neneknya yang sentiasa bercerita mengenai kehidupannya semasa berada di Indonesia.

“Saya mahu bermain untuk Indonesia kerana pertama sekali ia adalah penghormatan kepada nenek saya yang meninggal dunia baru-baru ini,” kata Paes.