Kembali bergelar isteri Ogos lalu, status Jue Aziz akhirnya terjawab

Kembali bergelar isteri Ogos lalu, status Jue Aziz akhirnya terjawab

 

Selepas lima tahun bercerai, pelakon Jue Aziz kembali bertemu jodoh dengan jejaka pilihannya dikenali sebagai Ridwan.

Pasangan ini melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos lalu di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan yang hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.

Meluahkan rasa syukur atas perkahwinan itu, Jue atau Zuliana Abdul Aziz, 40, memberitahu dia dan suaminya itu sudah lama mengenali di antara satu sama lain sebelum memutuskan untuk berkahwin.

“Sejak bila kami kenal biarlah rahsia tetapi apa boleh saya katakan kami sudah lama kenal dan bukan mudah mengambil keputusan berkahwin.

“Sepatutnya kami rancang nak bernikah hujung tahun ini tapi dipercepatkan bagi menunaikan permintaan ibu saya yang sudah berusia.

“Agak kelam kabut juga sebab nak pastikan semua ahli keluarga ada pada tarikh tersebut dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Apa yang penting adalah restu keluarga dan anak saya sekarang ada papa baru,” katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Jue sebelum itu berkongsi video hari bahagianya di Instagram miliknya sekali gus menamatkan spekulasi mengenai status sebenarnya.

Dalam majlis berkenaan Jue memberitahu dia menerima mas kahwin sebanyak RM222 berserta seutas gelang dan sebentuk cincin.

Tidak mahu mendedah secara terperinci tentang suaminya itu, Jua memberitahu Ridwan seorang lelaki yang sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya.

“Umur dia pun rahsia. Tetapi dia lebih muda daripada saya.

“Suami seorang yang sentiasa memberi sokongan dan faham akan kerjaya saya,” ujarnya.

Untuk rekod Jue sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuzik asal Indonesia bernama Bayu Praman pada Mac 2014 dan bercerai pada Januari 2019.

Hasil perkahwinan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata namun mereka mempunyai seorang anak angkat iaitu Darwish Naufal, 11.