Ramai rider dah terkena taktik baru ‘scammer’ nak dapat makanan secara percuma

Ramai rider dah terkena taktik baru ‘scammer’ nak dapat makanan secara percuma

 

Apabila sudah biasa menipu, ada sahaja helah licik yang dilakukan oleh sesetengah individu untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan dengan cara yang salah.

Baru-baru ini, seorang rider meluahkan ketidak puasan hati apabila dia telah ditegur dek kerana hanya mengambil gambar makanan yang dihantar kepada pelanggan.

Menerusi tangkap layar perbualannya, pelanggan telah mempersoalkan tindakan rider yang mengambil gambar hantaran walaupun sudah diletak nota untuk tidak berbuat sedemikian.

“Jangan ambil gambar. dah bagitahu dalam remarks,” tulis pelanggan itu.

Namun, rider tersebut berkeras mengatakan itu standard prosedur buat mereka mengambil gambar sebagai bukti untuk mengesahkan sudah menyelesaikan penghantaran kepada pelanggan.

Dia lalu berseloroh mengatakan tiada apa yang perlu ditakutkan dengan sekeping gambar penghantaran pesanan yang diambil dan ia boleh menjadi bukti yang dia sudah meletakkan makanan di tempat yang diarahkan.

Perkongsian lelaki itu di grup FB GrabFood Rider Malaysia telah meraih perhatian ramai dan rata-ratanya mendedahkan ini merupakan satu taktik baharu scammer untuk menipu dalam mendapatkan makanan secara percuma.

Difahamkan sebab mereka suruh tidak mengambil gambar bukannya berkaitan privasi tetapi mempunyai hasrat untuk membuat aduan yang makanan atau minuman yang dipesan tidak dihantar oleh rider.

Lalu, mereka akan mendapat refund dan terima makanan yang dipesan secara percuma. Hal ini sekaligus telah menganiaya rider yang ‘lurus bendul’ yang tidak mengambil gambar hantaran yang telah dibuat.

Bukan itu sahaja, ada di kalangan rider berkongsi telah mengalami situasi yang sama dan terpaksa ditolak gaji dek kerana helah licik yang dilakukan oleh si scammer.

Jadi, ramai yang meminta rider di luar sana untuk lebih berhati-hati dan cakna dengan taktik penipuan terbaharu yang kian merebak di banyak tempat.