Influencer dedah rahsia orang Cina berbelanja, penting jaga ‘cash-flow’ kalau nak menyimpan
Seorang pempengaruh kewangan yang dikenali sebagai Afham Yusof telah berjaya mencuri tumpuan ramai selepas mendedahkan satu ‘rahsia’ masyarakat Cina.
Rahsia yang mempengaruhi kaum Cina di dalam urusan pengurusan perbelanjaan ini dedahkan Afham menerusi satu hantaran tular dikongsikannya di platform Youtube.
Difahamkan, rahsia itu dibongkarkan oleh rakan Afham dikenali sebagai Sean yang berjaya menyimpan wang sebanyak 50 peratus dari gaji diterimanya setiap bulan.
Menurut Afham, Sean menjelaskan kepadanya bahawa masyarakat Cina mempunyai tiga prinsip kewangan yang menjadi panduan untuk menyimpan duit dengan betul.
1. Tidak suka kumpul barang kemas
Orang Cina dikatakan suka membeli emas untuk kegunaan kecemasan berbanding barangan kemas yang sering dipakaikan di tubuh badan untuk menunjuk-nunjuk.
Hal ini kerana, emas-emas tersebut boleh dipajak gadaikan di masa hadapan selain tidak perlu meminjam duit daripada ahli keluarga atau rakan di masa susah kelak.
2. Perbelanjaan berdasarkan peraturan nisbah 1:10
Sentiasa mengeluarkan belanja dalam jumlah satu daripada 10 bahagian wang yang diperoleh. Sebagai contoh, belanjakan duit RM1 daripada RM10 yang mereka dapat.
Dalam bahasa mudahnya, masyarakat Cina lebih gemar menggunakan wang yang mereka perolehi untuk perbelanjaan seharian dalam kadar seminima yang boleh.
Walaupun bukan semua, kebanyakkan masyarakat Cina juga tidak suka berhutang di mana mereka gemar menggunakan wang tunai dalam pembelian sesuatu barang.
Sekiranya memang perlu berhutang sebagai contohnya untuk membeli rumah, kereta atau sebagainya, mereka akan meletakkan wang deposit dalam jumlah yang tinggi.
Hal ini kerana, sesetengah masyarakat Cina yang bertindak sedemikian kerana mahu menjaga cash-flow atau aliran tunai sama ada keluar dan masuk pada setiap bulan.
3. Beli barang berkualiti
Masyarakat Cina yang berpegang kepada prinsip ini tidak berkira untuk berbelanja lebih banyak wang bagi membeli barang berkualiti asalkan boleh ia diguna lama.
“Orang Cina yang ketika ini masih bekerja juga lebih memilih untuk berkahwin apabila mereka sudah stabil, kerjaya juga terjamin dan tentunya selepas memiliki kediaman.
“Begitu juga dengan perancangan keluarga, pasangan berbangsa Cina kebanyakkan hanya mempunyai seorang atau dua orang anak. Kadang-kadang, langsung tiada.
“Hal ini kerana bagi mereka, anak yang sedikit membawa makna ada duit lebih untuk dibelanjakan contohnya dari segi kesihatan, pendidikan, atau pencen mereka sendiri,” jelas Afham.