Syarikat penerbangan wajib bayar ‘refund’ penuh jika penerbangan tertangguh lebih 5 jam – Menteri

Syarikat penerbangan wajib bayar ‘refund’ penuh jika penerbangan tertangguh lebih 5 jam – Menteri

 

Syarikat penerbangan akan diwajibkan untuk mengembalikan sepenuhnya wang penumpang bagi penerbangan yang tertangguh selama lima jam atau lebih, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut Anthony, langkah itu akan dilaksanakan mulai 2 September, mengikuti pindaan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Ini adalah satu penambahbaikan untuk pengguna. Sebelum ini, tiada peruntukan sedemikian di mana syarikat penerbangan hanya perlu menyediakan makanan dan sebagainya.

Bagaimanapun, Anthony menerangkan bahawa solusi tersebut hanyalah untuk penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan penerbangan yang tertangguh dan memilih untuk membeli penerbangan lain secara keseluruhan.

Pindaan lain kepada MACPC juga meliputi pengembalian wang untuk penerbangan yang terganggu disebabkan oleh keadaan luar biasa seperti cuaca yang berubah.

Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan pengembalian wang dalam bentuk alternatif seperti baucar perjalanan atau kredit.

Namun, pengguna mempunyai pilihan untuk menentukan kaedah pengembalian wang yang mereka inginkan.

Tambah Anthony, jika ada perubahan pada jadual waktu berlepas, pengguna perlulah diberitahu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh perubahan, melainkan jika perubahan tersebut melibatkan keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, peraturan tersebut akan berkuat kuasa mulai Januari tahun depan.

Semua penerbangan yang dibatalkan juga mesti dikeluarkan dari semua platform tempahan, termasuk ejen perjalanan dalam talian dan luar talian.

Pada masa sama penumpang yang dinafikan tempat duduk kerana penerbangan terlebih tempah juga perlu dimaklumkan kepada mereka sama ada di kaunter daftar masuk atau pintu pelepasan.

Anthony turut berkata tempoh aduan telah dilanjutkan dari satu tahun kepada dua tahun.