Cristiano Ronaldo beri bayangan bakal bersara dari bolasepak
Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo dilihat memberi bayangan awal tentang bila beliau bakal bersara dari arena bola sepak.
Sebelum ini, ramai peminat bola sepak terkejut apabila pasangan beliau, Georgina Fernandez memberi bayangan Ronaldo akan bersara pada tahun hadapan.
Walau bagaimanapun, bekas penyerang Manchester United itu memaklumkan beliau tidak akan bersara dalam masa terdekat. Ini kerana matlamat Ronaldo ialah bersara di rantau Timur Tengah.
“Saya tak tahu bila saya akan bersara, dalam dua atau tiga tahun lagi tetapi mungkin saya akan bersara di sini di Al-Nassr.
“Saya gembira berada di kelab ini. Saya merasa selesa di negara ini (Arab Saudi) juga. Saya gembira beraksi di Arab Saudi dan saya mahu terus beraksi (di sini),” katanya kepada NOW seperti yang dilaporkan Talksport.
Ini bermakna Ronaldo mahu menjadikan Piala Dunia 2026 sebagai kejohanan antarabangsa terakhirnya bersama Portugal sebelum menggantung but. Ini juga peluang terakhirnya menjulang trofi berprestij itu.
Trofi Piala Dunia juga dilihat pemisah dari segi pencapaian antara Ronaldo dan legenda Argentina, Lionel Messi. Messi berjaya menjulang trofi Piala Dunia pada edisi 2022 di Qatar.
Ronaldo turut memberi bayangan sekiranya beliau mengumumkan persaraan, ia akan difikirkan terlebih dahulu sebelum diumumkan secara spontan.
“Bila saya tinggalkan skuad kebangsaan (Portugal), saya takkan beritahu sesiapa terlebih dahulu. Ia akan jadi keputusan spontan yang dibuat saya tetapi telah difikirkan terlebih dahulu.
“Sekarang ini, apa yang saya mahu ialah membantu skuad kebangsaan untuk perlawanan-perlawanan mereka yang mendatang,” tambahnya.
Portugal bakal berdepan Croatia dan Scotland pada September ini untuk dua aksi Liga Negara-Negara UEFA.