“Kalau you tak suka, pergi la kerja tempat lain” – Wanita tegur pegawai Imigresen bersikap biadap terhadap pelanggan

“Kalau you tak suka, pergi la kerja tempat lain” – Wanita tegur pegawai Imigresen bersikap biadap terhadap pelanggan

 

Memang tidak dinafikan, pekerjaan dalam bidang khidmat pelanggan sememangnya mencabar mental dan fizikal kerana perlu melayan pelbagai kerenah manusia.

Namun ia bukanlah satu tiket buat seseorang untuk memberikan layanan buruk dengan sewenang-wenangnya kepada individu yang datang untuk berurusan.

Baru-baru ini, seorang wanita bernama Rossneeda menerusi akaun TikToknya berkongsi kisah insiden kurang enak yang dialami semasa menunggu di bahagian visa dan permit imigresen di Putrajaya.

Pada mulanya, dia tiba ke pejabat imigresen pada sekitar pukul 10 pagi dan menunggu giliran di dalam barisan selama 20 minit.

Bagaimanapun, dia selepas itu terlihat gelagat seorang pegawai imigresen yang bertugas di kaunter pada ketika itu mengherdik dengan nada suara tinggi kepada dua wanita yang berasal dari negara India.

Bahkan, salah seorangnya sedang memegang bayi sekaligus Rossneeda merasakan bahawa layanan itu tidak wajar dilakukan.

Di dalam video tersebut, dia menegaskan bahawa walaupun ramai kakitangan kerajaan bersifat sopan santun dan sedia membantu pelanggan, namun tetap ada yang mempamerkan tingkah laku yang kelihatan tidak berpendidikan dan tidak menghormati orang lain.

Memandangkan insiden berkenaan telah mengganggu perasaannya, dia lantas tampil berhadapan dengan pegawai untuk menegur kelakuan buruknya.

Bagaimanapun, pegawai dengan lagaknya mempersoalkan tindakan Puan Rossneeda yang masuk campur dalam perilakunya terhadap wanita india sebentar tadi.

Kecewa dengan respons itu, Rossneeda memberitahu pegawai itu:

“Kalau you tak suka, you pergi la kerja tempat lain daripada bekerja di kaunter.

“Sebagai penjawat awam, anda sepatutnya berkhidmat kepada orang ramai dengan hormat dan empati. Jika anda tidak dapat mengendalikannya, anda tidak sepatutnya bekerja dalam perkhidmatan pelanggan,” tegur wanita itu kepada pegawai imigresen yang biadap.

Pegawai tersebut sepertinya enggan menerima teguran itu dan cuba mempertahankan tindakannya dengan mendakwa terlalu ramai orang yang perlu dilayan pada setiap hari di kaunter tersebut.

Dia sekali lagi menekankan perkhidmatan pelanggan harus sentiasa disampaikan dengan senyuman dan kesopanan. Dalam masa sama, Rossneeda turut berkata mereka yang tidak dapat menguruskannya mungkin lebih sesuai untuk peranan yang berbeza.

“Semua orang berhak dihormati, tanpa mengira status atau kedudukan mereka,” katanya menyimpulkan dalam video itu.

@rossneeda

Pegawai biadab di Immigration #putrajaya #immigration #malaysia #immigrationputrajaya #jimputrajaya #biadap #badcustimerservice #agensikerajaan #poorservice #customerservice #fypp #fyppppppppppppppppppppppp #fypviral #beranda #berandatiktok #berandafyp #madani #kerajaanmalaysia #kpimigresenbaru #public #governmentjob

♬ Renungan Diri – Anto D’Ryuzaki

Video yang dikongsikan itu telah menjadi bualan hangat di kalangan netizen dan ramai yang bersetuju dengan tindakan wanita tersebut yang berani menegur secara berdepan dengan penjawat awam berperangai buruk seperti ini.