Wanita terhantuk tiang ketika berdiri di pintu tren, nasib baik cedera ringan je

Wanita terhantuk tiang ketika berdiri di pintu tren, nasib baik cedera ringan je

 

Seorang wanita di selatan Thailand, baru-baru ini, terselamat tanpa mengalami kecederaan serius selepas kepalanya terhantuk pada tiang ketika mengeluarkan badan di luar gerabak kereta api yang bergerak.

The Straits Times melaporkan, video tular di media sosial menunjukkan wanita itu berada di pintu gerabak.

Dia berpegang pada besi pemegang dan mengeluarkan badannya di luar gerabak, sambil badannya menghadap bahagian dalam kereta api.

Seketika kemudian, kepalanya terkena tiang di landasan hingga wanita itu kemudian hilang imbangan tetapi masih berpegang pada besi pemegang.

Dalam satu lagi video, wanita itu dilihat membongkok di luar kereta api yang sedang bergerak dan kemudian, jatuh ke landasan.

State Railway of Thailand (SRT) menerusi hantaran di Facebook pada 13 Ogos lalu memaklumkan kejadian itu pada 3.15 petang, 5 Ogos 2024.

Ia ketika sebuah kereta api meninggalkan stesen Ban Ton Don di Phatthalung, dan menuju ke Nakhon Si Thammarat.

Wilayah Phatthalung di selatan Thailand terletak kira-kira 850 kilometer (km) dari bandar ini.

Tambah SRT, kereta api itu bergerak pada kelajuan rendah ketika kejadian kerana ia baru berlepas dari stesen sebelumnya.

Wanita itu mengalami bengkak di kepala kesan insiden berkenaan dan dibawa ke Hospital Phatthalung.

Hasil ujian X-ray menunjukkan wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dan dia dibenarkan pulang.