“Saya nak brek emergency, sekali Azizul potong” – ‘Pacer’ Olimpik Paris akhirnya dedah cerita sebenar
Acara basikal trek untuk disiplin keirin di Sukan Olimpik Paris 2024 masih menjadi tumpuan selepas penyingkiran pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang, minggu lalu.
Selain meratapi kejadian tersebut, ramai rakyat Malaysia turut menyedari bahawa wajah pacer yang terlibat mirip pelakon Zain Saidin.
Sehubungan itu, Zain dalam siaran langsung di TikTok semalam, berseloroh menjelaskan mengapa ‘dia’ (pacer) bergerak perlahan.
“‘Jetlag’ baru balik dari Paris. Pertama, (saya nak jelaskan) motosikal itu habis bateri, kedua saya cuba nak bagi pelumba Perancis langgar saya tapi dia tak langgar.
“Saya sebenarnya dah nak brek ’emergency’ (kecemasan), sekali Azizul dah potong,” seloroh Zain.
Menurut laporan Kosmo sebelum ini, Azizulhasni tersingkir daripada saringan pertama acara keirin lelaki selepas didakwa melintas pacer terlalu awal, menyebabkan penyertaannya dibatalkan.
Zain juga terus berseloroh dengan berkata ramai yang kini berminat untuk membeli motosikal yang digunakan pacer terbabit.
“Kalau jual motosikal itu, mesti laku. Ramai orang nak beli sebab nak bakar. Kita boleh buat bidaan, siapa yang menang dapat beli untuk bakar,” jelasnya.