Kalau hutang berkurang, kenapa makin tinggi? Ini penjelasan Rafizi bagi yang masih tak faham
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akui setiap kali kerajaan berkongsi maklumat mengenai usaha mengurangkan hutang negara, ia akan diperlekehkan penyokong pembangkang.
Lebih-lebih lagi mengenai pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa jumlah hutang baru berkurang setiap tahun setelah Kerajaan Madani mengambil alih.
Rafizi berkata, maka kecohlah pakar ekonomi Tiktok, konon ini satu penipuan kerana jumlah hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan semakin bertambah.
Namun menurut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, apa yang berlaku adalah jumlah hutang tahunan perlu mengambil kira bayaran hutang terdahulu setiap tahun.
“Saya selalu terangkan bahawa pada masa kerajaan komited kurangkan hutang baru setiap tahun, kita masih perlu membayar hutang-hutang yang diwarisi,” katanya.
Profil hutang terdahulu yang perlu dibayar kerajaan pada tahun lalu adalah RM78 bilion manakala tahun depan berjumlah RM97 bilion, RM89 bilion (2025) dan RM97 bilion (2026).
“Maknanya, hutang-hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu kini perlu dibayar oleh kerajaan sekarang.
“Walaupun ekonomi makin baik, cukai yang dikutip lebih tinggi, tetapi oleh kerana tempoh matang hutang terdahulu perlu dibayar, jumlah hutang keseluruhan masih nampak tinggi.
“Sebab itu prestasi mengurangkan hutang perlu diteliti dari juga segi jumlah baharu yang diambil oleh pentadbiran sekarang, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri,” ujarnya lagi.
Dalam tempoh dua tahun mentadbir, hutang baru tahunan telah berjaya diturunkan sebanyak RM14 bilion, iaitu RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM100 bilion dalam 2022.
Jika prestasi ini dapat dikekalkan kata Rafizi, jumlah hutang keseluruhan negara akan mula menurun bermula 2027 ke atas apabila jumlah hutang terdahulu yang matang akan mula berkurang.