Netizen kecam warga Indonesia selamba bakar ayam di koridor pangsapuri
Apabila kita berada di sesuatu tempat lain, memang sudah diajar untuk menghormati budaya dan adat resam yang diamalkan warga setempat.
Namun, masih wujud segelintir individu yang mementingkan diri dengan membawa perangai negatif ke tempat tersebut.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok yang dipercayai dari Indonesia telah memuat naik sebuah video yang memaparkan kegiatan mereka membakar ayam secara terbuka di sebuah pangsapuri.
Mereka didapati dengan selamba membakar ayam dalam skala besar dengan menggunakan dapur arang di kawasan koridor rumahnya.
Boleh dilihat tahap penyediaan ayam itu tidak teratur dan kotor sekaligus berpotensi dicemari dengan kuman.
Nampak gayanya mereka seperti menyiapkan ayam bakar berkenaan untuk dijual kepada komunitinya selepas itu.
Penularan video tersebut lantas meraih perhatian netizen dan rata-ratanya mengecam tindakan mereka membakar ayam secara terbuka di koridor kerana kepulan asap yang boleh merebak ke rumah-rumah jiran dan lebih teruk lagi akan meninggalkan bau pada pakaian yang disidai di ampaian.
Individu terbabit turut dinasihati untuk menghormati penduduk setempat dan patuhi peraturan berkaitan pembakaran secara terbuka di perumahan. Ada yang berseloroh meminta mereka untuk tidak membawa perangai dari negara asal datang ke mari.