Tukang gunting rambut ditahan gara-gara ludah krim sebelum sapu muka pelanggan
Seorang tukang gunting rambut di India ditahan polis selepas ditangkap kerana menyapu krim bercampur air liurnya pada muka pelanggan, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Superintendan Polis, Amit Kumar berkata, suspek bernama Yusuf itu ditahan selepas polis menerima aduan berhubung klip video kejadian itu yang tular di media sosial.
“Selepas menerima laporan, kami menahan suspek malam kelmarin,” kata Amit Kumar.
Menurut seorang pegawai lain, Kapoor Kumar, kejadian dipercayai berlaku dua minggu lalu tetapi video mengenainya tular baru-baru ini.
“Dalam video itu, suspek dilihat menyapu sedikit krim pada muka pelanggan sebelum berhenti dan meludah di tapak tangannya.
“Dia kemudian menyapu krim itu semula pada muka pelanggan,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan tiba di tempat kejadian dan menyerbu salun berkenaan semalam.
“Salun ini akan diruntuhkan dengan jentolak,” kata pihak berkuasa.