“Dekat Thailand pun RM18” – Peniaga nafi ‘long fries’ RM19 mahal, anggap ia berbaloi kerana guna resepi sendiri
Tular di media sosial, seorang peniaga didakwa mengenakan harga cekik darah untuk sebekas kentang panjang atau ‘long fries’.
Tidak melatah, peniaga berkenaan akhirnya tampil menjelaskan bahawa harga yang dikenakan adalah berbaloi dan tidak terlalu mahal.
Menurutnya, untuk 12 batang ‘long fries’, ia dijual pada harga RM16 dan RM19 berbeza mengikut ‘topping’ yang dipilih pelanggan.
Malah dia turut mempertahankan harga jualannya, mengatakan bahawa resipi kentang dan ‘topping’ dicipta sendiri oleh pasukannya.
“Harga kita RM16 dan RM19 sahaja. Bagi saya kentang saya tak mahal. Kalau pergi dekat Thailand pun RM18.
“(Untuk kentang RM19) ada (topping) ayam dan daging. Kalau RM16, basic sahaja. Lagi satu resipi kita ni semua sendiri. Bermula daripada kentang ni sampailah ‘topping’ semuanya resipi kita orang sendiri.
“Bahan yang digunakan bukanlah bahan (biasa digunakan). Contohnya sos cili. Kita orang tak buat lagi sos cili sebab tak jumpa lagi R&D untuk sos cili tu,” katanya dalam satu video penjelasan di @keytatoes.
Pada masa sama, pemilik keytatoes itu juga menafikan dakwaan dia ‘takut’ atau sengaja tidak mempamer harga kerana hakikatnya tanda harga sudah terpampang besar di hadapan gerai.
“Orang kata saya takut nak bagitahu harga. Harga kita ada dekat papan. Terpampang besar dekat papan. Dalam ‘live’ pun saya selalu cakap harga saya RM16 dan RM19.
“Saya tak pernah malu dengan harga saya ni. Saya tak pernah rasa harga kentang saya ni terlalu tinggi, dia memang berbaloi. Untuk kentang saya ni memang murah dan sedap. Itu yang penting,” katanya lagi.
Sementara itu menjengah ke ruangan, netizen berbeza pendapat mengenai hal itu. Ada yang menyokong, ada juga yang masih mengecam kerana kuantiti dan harga tidak setimpal.
Namun beberapa pengguna memberitahu ‘long fries’ yang dijual memang sedap dan berbaloi.