Naik taraf lesen B1, B2: Kenapa perlu 10 tahun, bukan automatik ke ‘B Full’?
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan peralihan lesen B2, B1 kepada B Penuh (B Full) TIDAK berlaku secara automatik seperti dilaporkan beberapa portal berita semalam.
Jelas beliau, naik taraf lesen tersebut perlu menjalani satu program khas yang sudah dipermudahkan Kementerian Pengangkutan.
“Syarat yang ditetapkan ialah 10 tahun pengalaman (tunggangan motosikal dan pemilikan lesen). Mengapa kita letak syarat ini?
“Kita tak nak individu yang baru berumur 16 tahun…dia baru dapat B2 dan dia terus boleh (lesen) B. Ini kena lihat pada pengalaman mereka.
“Jadi, kita mengambil satu jalan tengah. Kita faham ada permintaan supaya kita mempermudahkan proses ini…Tetapi pada masa sama, kita juga melihat ada keseimbangan.
“Kalau mahu buat program ini secara simplified (dipermudahkan), dia (pemohon) perlu ada pengalaman 10 tahun.
“Kalau mana-mana individu yang tiada (syarat) 10 tahun pengalaman itu, mereka boleh ambil lesen B juga. Tetapi (perlu dibuat) mengikut proses seperti biasa. Dia kena buat (latihan) 11 jam, ada teori, ada amali dan mengambil ujian.
“Dia boleh buat tetapi orang yang ada 10 tahun pengalaman (menunggang) ke atas, mereka boleh simplified (proses itu).
“Saya ingin tegaskan di sini. Naik taraf lesen itu bukan secara automatik tetapi melalui proses yang dipermudahkan.
“Kita tak boleh bagi secara automatik. Kalau automatik, kita tak tau sama ada seseorang penunggang itu betul-betul kompeten atau tidak. Ini saya harap pihak persatuan motosikal (termasuk bikers) juga faham.
“Kita juga ada syarat kita…ada keperluan kita untuk melihat kompetensi. Ini juga satu pertimbangan diberikan kepada permohonan mereka dan kita mudahkan…tetapi pada masa sama, kita nak pastikan sekurang-kurangnya orang itu ada pengalaman dan kompetensi membawa motosikal besar.”