Anwar Ibrahim & Muhyiddin Yassin dititah menghadap Agong 4:30 petang ini
PENGERUSI Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada pukul 4.30 petang, Selasa.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda mendapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menentukan kerajaan baharu.
“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, makan baginda menitahkan perkenan untuk ketua-ketua gabungan PH dan PN menghadap pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara,” katanya.
Selain itu Ahmad Fadil juga berkata Yang di-Pertuan Agong menyeru dan menasihat seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.
“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dillindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.
Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI