Anak gadis minat dunia lakonan, Mustapha Kamal akui bimbang

Anak gadis minat dunia lakonan, Mustapha Kamal akui bimbang

SEBAGAI seorang pelakon yang memiliki pengalaman 35 tahun dalam dunia seni, aktor Mustapha Kamal mengakui bimbang apabila anak gadisnya iaitu Salsabil Qur’ani, 19, menyatakan hasrat mahu mengikut jejak langkahnya.

Mustapha, 60, bagaimanapun berkata selepas melihat kesungguhan Salsabil atau mesra disapa Bil membuatkan dia terbuka hati memberikan keizinan untuk anaknya itu menjadikan dunia lakonan ini sebagai satu kerjaya.

“Banyak pengalaman yang telah saya lalui dan pelbagai perkara saya tahu dalam bidang seni ini. Ada yang saya rasakan tidak sesuai untuk dia (Bil) menjadi pelakon. Walaupun susah nak cakap tentang kerisauan itu, tetapi ada la yang membuatkan saya bimbang.

mustapha 3

Bil akan minta pendapat ayahnya sebelum terima tawaran berlakon.

“Sebenarnya saya tidak gemar anak-anak menjadi artis, tetapi melihat minat di cenderung ke arah itu, saya okey sahaja,” katanya.

Meskipun sudah berjinak-jinak dengan penggambaran komersial televisyen dan drama sejak kecil, nama Bil mula menjadi sebutan ramai apabila wajah cantiknya menjadi perhatian dalam kalangan netizen.

Bukan sahaja mewarisi rupa paras ayahnya, Bil juga merupakan anak kepada bekas Ratu Cantik Malaysia 1993 yang juga seorang pelakon iaitu Susan Manen.

Mengaku agak memilih dalam setiap tawaran yang diberikan kepada anaknya, Mustapha memberitahu dia turut menasihati Bil supaya menjaga disiplin jika mahu berjaya dalam industri seni.

“Dia masih di bawah jagaan saya. Kalau ada watak yang tidak sesuai dengan umurnya saya akan tolak.

Sebenarnya saya tidak gemar anak-anak menjadi artis, tetapi melihat minat di cenderung ke arah itu, saya okey sahaja

MUSTAPHA KAMAL

PELAKON

“Dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan saya sentiasa menasihati anak-anak supaya perlu ikhlas dan jaga disiplin serta pandai bawa diri. InsyaAllah akan berjaya di masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Bil pula berkata dia semakin seronok mengembangkan bakat dalam bidang lakonan dan tidak menolak jika ini akan menjadi satu kerjaya tetap.

Tidak pernah terfikir untuk berlakon sebelum ini, kata Bil minat itu datang secara semula jadi memandangkan sudah ada darah seni dalam dirinya.

mustapha 2

Bil mewarisi bakat seni daripada kedua ibu bapanya.

“Saya suka dengan apa yang dilakukan sekarang ini. Namun semuanya terpulang kepada ayah kerana dia sangat memilih. Kalau dia tidak benarkan saya tidak akan terima.

“Apa sahaja tawaran yang diterima saya akan rujuk dahulu kepada ayah. Dia juga akan sentiasa ikut menemani saya ke lokasi penggambaran,” ceritanya.